Oleh Rosniza Mohd Taha
BERI SOKONGAN: Siti Zaleha (kiri) dan Alimuddin mendengar pendapat peserta Konvensyen SBP di Cyberjaya, baru-baru ini. |
SBP juga harus penuhi kriteria dan melalui proses penilaian
STATUS Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tidak menjamin institusi itu tersenarai dalam kelompok sekolah cemerlang, sebaliknya perlu memenuhi kriteria ditetapkan dan menjalani proses penilaian Jawatankuasa Pemilihan serta Panel Penasihat Sekolah Kluster.
Justeru, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, mengingatkan semua 54 SBP meningkatkan kecemerlangan dalam segala aspek bagi memastikan ia tidak ketinggalan dalam persaingan merebut status sekolah kluster dengan 10,000 sekolah lain.
“SBP yang selama ini dikenali sebagai pusat kecemerlangan pendidikan peringkat menengah tidak wajar ketinggalan daripada tersenarai sebagai sekolah kluster bagi melonjak kecemerlangannya.
“Namun, SBP jangan terlalu selesa dengan status dimiliki kerana pemilihan sekolah kluster bukan dibuat secara automatik, justeru, usaha meningkatkan kecemerlangan perlu dilaksanakan bagi memastikan sekolah dapat bersaing dalam meraih gelaran itu.
“Jika semua SBP dapat memastikan budaya kecemerlangan ditingkatkan termasuk pencapaian akademik dan kokurikulum pelajar, keadaan fizikal kemudahan serta keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, pasti Jawatankuasa Pemilihan tidak ragu-ragu memilih sekolah itu sebagai sekolah kluster,” katanya ketika menghadiri Konvensyen SBP Kementerian Pelajaran di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, baru-baru ini.
Beliau menjawab cadangan salah seorang peserta supaya diwujudkan Kluster Entiti SBP bagi membolehkan semua SBP tersenarai sebagai kelompok sekolah cemerlang.
Setakat ini, 11 SBP terpilih sebagai sekolah kluster, sekali gus memberi peluang kepada sekolah terbabit memberi tumpuan kepada bidang kebitaraan masing-masing.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kluster, Datin Dr Siti Zaleha Abdullah Sani.
Alimuddin berkata, pengurusan dan pentadbiran sekolah terutama pengetua memainkan peranan penting bagi memangkin kecemerlangan SBP.
Berita Harian Online: 28 Ogos 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan