Rabu, 21 Julai 2010

Perbincangan Meja Bulat cenderung mansuh UPSR, PMR

GENTING HIGHLANDS 20 Julai - Perbincangan Meja Bulat pertama berkaitan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dilihat cenderung kepada langkah pemansuhan kedua-dua peperiksaan tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kerajaan akan meneliti hasil perbincangan itu dengan lebih mendalam sebelum keputusan akhir diumumkan nanti.

Menurut beliau, perbincangan Meja Bulat kedua akan diadakan minggu depan dan kedua-dua input daripada perbincangan itu bakal dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ogos ini.

"Penetapan kepada isu ini tidak boleh dibuat secara terburu-buru kerana ia melibatkan keputusan utama terhadap pendidikan negara. Justeru, kita akan teliti pandangan semua pihak.

"Jika dimansuhkan, ia akan membabitkan kepada alternatif bagi menggantikan peperiksaan sedia ada.

"Hasil daripada keputusan Meja Bulat itu akan dibentangkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Ogos nanti,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas perasmian Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-17 2010, di Institut Aminuddin Baki (IAB), dekat sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan keputusan kesatuan-kesatuan guru yang bersetuju dengan cadangan memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR pada perbincangan Meja Bulat pertama yang berlangsung di Putrajaya.

Utusan Malaysia Online: 21 Julai 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ELOKLAH TU