Khamis, 29 Julai 2010

Tiada siapa berani bantu

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
2010/07/29

AMPANG: “Saya bersama seorang rakan dipukul dengan kayu selain dibelasah beramai-ramai hanya kerana enggan mengikut arahan mereka,” kata seorang pelajar sekolah menengah di sini yang cedera akibat enggan membayar wang pelindungan kepada sekumpulan 30 lelaki dipercayai samseng kongsi gelap, Geng 30.

MANGSA...pelajar berusia 15 tahun yang cedera dibelasah ahli kongsi gelap di sekolahnya, Isnin lalu.
MANGSA...pelajar berusia 15 tahun yang cedera dibelasah ahli kongsi gelap di sekolahnya, Isnin lalu.
LUKA...kecederaan pada kepala mangsa.
LUKA...kecederaan pada kepala mangsa.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari Isnin lalu, mangsa yang ingin dikenali sebagai Cheah, 15, berkata, dia dan rakannya baru keluar dari pintu pagar sekolah apabila didatangi kumpulan lelaki itu yang menaiki dua motosikal dan lima kereta.

“Mereka menghampiri kami membawa kayu dan memegang kami sebelum membawa ke arah kenderaan mereka yang diletakkan berhampiran.

“Tanpa sebarang amaran seorang daripada mereka menghayunkan kayu ke arah badan kami sebelum mereka beramai-ramai membelasah kami.

“Mereka berang kerana tidak mempedulikan arahan supaya membayar wang pelindungan yang disampaikan melalui seorang pelajar tingkatan dua empat hari sebelumnya,” katanya.

Menurutnya, dia dan rakannya dibelasah hampir setengah jam tanpa belas kasihan, manakala seorang lagi rakan sebaya yang cuba menenangkan anggota kumpulan kongsi gelap itu turut menjadi mangsa belasahan.

Katanya, mereka merayu kumpulan penyerang itu supaya tidak membelasah mereka, namun tidak diendahkan.

Malah, katanya, tiada sesiapa berani membantu walaupun mereka menjerit meminta tolong sebelum kumpulan itu beredar.

“Polis tiba di tempat kejadian kemudian membawa kami mendapatkan rawatan di Hospital Ampang. Kami cedera di kepala, badan dan tangan,” katanya yang membuat laporan polis pada hari kejadian.

Dia turut mengadu kejadian itu kepada Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Ong Tee Keat, di Pandan Indah, dekat sini, semalam.

Petugas Khas Ahli Parlimen Pandan, Cindy S K Leong berkata, pihaknya bimbang dengan penularan aktiviti kongsi gelap di sekolah kerana boleh mewujudkan generasi samseng di kalangan remaja.

Menurutnya, pihak pusat khidmat berkenaan sudah mendapat maklum balas daripada pihak sekolah berhubung kejadian itu dan difahamkan seorang pelajar tingkatan dua disyaki ahli kongsi gelap sudah dibuang sekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti tujuh suspek sebagai dalang utama kejadian itu.

“Pihak polis sudah menyiasat sama ada suspek bekas pelajar sekolah itu dan mangsa turut mengenalinya.

“Setakat ini, polis sudah pergi ke rumah suspek, namun mereka tiada di rumah dipercayai melarikan diri daripada diberkas.

“Polis sedang menjalankan gerakan memburu semua suspek dan tidak menolak kemungkinan kumpulan itu merekrut ahli di kalangan pelajar sekolah,” katanya.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan bagi perbuatan memiliki senjata maut dalam rusuhan.

myMetro: 29 Julai 2010

Tiada ulasan: