Sabtu, 31 Julai 2010

Ustaz digantung kerja dua bulan

Oleh Alias Abd Rani

2010/07/31

KUCHING: Ustaz yang didakwa mengenakan hukuman pelik terhadap muridnya yang gagal menghafaz surah al-Quran di sebuah sekolah di Simunjan di sini, sudah dikenakan tindakan gantung kerja selama dua bulan.

Tindakan dikenakan selepas siasatan dalaman Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak mendapati guru lelaki berusia 27 tahun itu bertindak di luar batasan sebagai seorang pendidik dalam mengenakan hukuman kepada muridnya.


Siasatan mendapati guru berkenaan menggunakan batang penyapu untuk merodok dubur muridnya sebagai hukuman sehingga mencetuskan kemarahan ibu bapa seperti yang dilaporkan akhbar baru-baru ini.


Malah, siasatan yang selesai dijalankan beberapa hari lalu turut mendapati ustaz terbabit memang melakukan perbuatan itu di khalayak murid lain.


Menurut sumber, dakwaan ke atas ustaz berkenaan diperkuatkan dengan pengakuan daripada beberapa murid yang disoal siasat bahawa mereka melihat sendiri bagaimana ustaz berkenaan melakukan hukuman ‘pelik’ terhadap rakan sekelasnya.


Difahamkan, ustaz terbabit yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu dibebaskan dengan ikat jamin polis dan laporan lengkap sudah disiap sebelum dihantar kepada Pengarah Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran.


Kata sumber itu lagi, siasatan dalaman turut mendapati dua daripada enam murid lelaki didenda dengan dubur mereka dirodok batang penyapu manakala empat lagi dipukul.


“Ketika siasatan dijalankan, kebanyakan murid mengaku menyaksikan kejadian itu. Malah, mereka turut memberitahu menyaksikan perbuatan ustaz berkenaan,” katanya.


Difahamkan, kejadian berlaku awal Julai lalu dan hukuman dijalankan di depan murid lain namun perkara itu hanya diketahui seminggu kemudian.


Ini kerana, berdasarkan maklumat ibu bapa mangsa, mereka mendakwa perkara itu sudah dimaklumkan kepada guru besar sekolah itu terlebih dulu namun tiada tindakan diambil sebelum kes itu dibawa kepada Jabatan Pelajaran Daerah.


Muka depan Harian Metro Jumaat lalu memaparkan tujuh murid dengan salah seorang daripada murid perempuan sebuah sekolah di Simunjan terpaksa berdepan dengan rasa malu selepas didakwa dibogelkan di dalam kelas kerana gagal menghafal surah al-Quran seperti diarahkan.

Malah, mereka turut mendakwa sebaik diarahkan berbogel, ustaz itu kemudian mengambil batang penyapu lalu merodok ke dalam dubur murid berkenaan.


Akibat perbuatan itu, murid berkenaan memberitahu ibu bapa masing-masing sebelum laporan polis dibuat di Balai Polis Simunjan.


Laporan pertama diterima daripada ibu bapa murid perempuan manakala satu lagi dibuat ibu bapa lelaki dan susulan daripada itu, polis membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan 377 (C) (A) kerana mengadakan hubungan seks menggunakan objek.


Sementara itu, Pengarah Pelajaran Negeri, Dr Julaihi Bujang ketika dihubungi berkata, ustaz berkenaan ditahan kerja dua bulan tapi masih layak menerima gaji penuh.

myMetro: 31 Julai 2010

Tiada ulasan: