Rabu, 7 Julai 2010

Polis tempatkan pegawai di ‘sekolah panas'

2010/07/07

KUALA LUMPUR: Polis kini mengenalpasti sekurang-kurangnya 10 sekolah di sekitar ibu negara yang dikategorikan ‘sekolah panas’ berdasarkan masalah disiplin dan kadar jenayah yang dilaporkan di sekolah berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman, berkata bagi mengatasi masalah itu, pihaknya akan menempatkan seorang pegawai berpangkat Asisten Superintendan dalam masa terdekat di setiap sekolah berkenaan bagi mengkaji punca utama yang menyumbang kepada kadar jenayah di kalangan pelajar.


“Anggota yang ditugaskan itu akan menjalankan siasatan menyeluruh dengan bantuan ibu bapa, guru serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) selain turut mengenalpasti punca kepada permasalahan itu dalam mesyuarat yang dilakukan pihak sekolah.


“Kami (polis) yakin dengan tindakan menempatkan seorang pegawai di setiap sekolah itu, banyak masalah boleh diatasi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Pendidikan Pencegahan Dadah dan Jenayah di Sekolah Kebangsaan Menengah (SMK) Taman Maluri, di sini, semalam.


Harian Metro difahamkan, sehingga kini, hanya 10 sekolah menengah dan rendah sudah dikenal pasti, bagaimanapun, nama sekolah berkenaan tidak didedahkan kerana bimbang akan menjejaskan prestasi sekolah.


Dengan menempatkan pegawai berkenaan, sekali gus tidak timbul isu segan atau takut untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan disiplin pelajar, sekali gus mengurangkan masalah jenayah di kalangan pelajar.


Muhammad Sabtu berkata, berdasarkan statistik, seramai 202 pelajar terbabit dalam jenayah pada 2008 tetapi jumlah itu menurun kepada 179 kes pada tahun lalu.

myMetro: 7 Julai 2010

Tiada ulasan: