2010/07/08
Soalan peperiksaan bentuk berfikir mampu lahir generasi kritisBANYAK sudah diperkatakan mengenai pandangan yang mula dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran terhadap ura-ura memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Pelbagai cadangan dan pandangan diluahkan berikutan pengumuman itu bulan lalu bertujuan mendapatkan reaksi rakyat terhadap sistem persekolahan dan pembelajaran kita sekarang, yang terlalu menekankan peperiksaan untuk menilai kemampuan pelajar.
Umum mengetahui perkembangan yang berlaku sejak beberapa tahun ini sudah membawa majoriti rakyat, pengurusan sekolah, guru apatah lagi ibu bapa begitu mementingkan peperiksaan yang ada hingga memberi tumpuan berlebihan kepadanya.
Ini adalah kerana sistem persekolahan kita sekarang terlalu dikongkong oleh peperiksaan hinggakan hampir keseluruhan masyarakat mahukan kanak-kanak sekolah memperoleh sebanyak mungkin gred A bagi mata pelajaran yang mereka ambil.
Akhbar juga memberi ruang kepada murid sekolah yang memperoleh A terbanyak. Maka ibu bapa serta sekolah yang mana murid itu belajar akan turut berbangga dengan pencapaian demikian.
Maka itulah kebanyakan ibu bapa membelanjakan wang tidak sedikit setiap bulan menghantar anak mereka mengambil pelbagai macam tuisyen dan kelas tuisyen juga diwujudkan di merata tempat, selain ramai pula guru dan bekas guru mengendalikan tuisyen di rumah.
Tidak menghairankan juga bagaimana setiap sekolah berlumba-lumba untuk mencapai prestasi terbaik bagi murid mereka mengikut ukuran ini. Keadaan persaingan itu dimantapkan pula oleh Kementerian Pelajaran yang turut memberi pengiktirafan kepada pengetua dan guru besar sekolah yang mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Ini sebenarnya tidak salah, tetapi apabila ada pengurusan sekolah yang mahu menentukan kedudukan sekolahnya tidak akan terencat dengan keputusan tidak baik pula, bertindak di luar jangkaan membuang atau mencari jalan untuk menidakkan pelajar yang dianggap lemah daripada menduduki peperiksaan itu di sekolahnya. Kononnya penyertaan mereka ini akan mengurangkan purata prestasi sekolah. Apakah tindakan sedemikian, suatu yang keterlaluan?
Apabila wujud sekolah yang tergamak melakukan hal demikian, tentunya ada yang tidak betul dengan tumpuan yang tidak munasabah diberikan kepada peperiksaan. Keadaan inilah yang perlu dibaiki. Keadaan inilah juga yang mendorong keghairahan ibu bapa menghantar anak mengambil tuisyen hingga mengakibatkan anak tidak mempunyai masa bermain dan beriadah. Ini tentunya suatu perkembangan yang tidak harus dibiarkan, bukannya digalakkan.
Pelbagai macam tuisyen yang dilangsungkan itu bukannya untuk meluaskan pemahaman dan pengetahuan murid terhadap sesuatu mata pelajaran, tetapi ditumpukan semata-mata untuk memberi petua bagaimana mahu menjawab soalan peperiksaan. Yang salahnya ialah bagaimana peperiksaan itu dikendalikan, iaitu berpandukan soalan objektif yang mana murid yang mengambil peperiksaan diminta memilih jawapan betul daripada empat atau lima jawapan disediakan.
Sistem inilah yang membawa kepada bercambahnya pengeluaran buku yang menumpukan kepada hal ini dan murid pula menghafal jawapan.
Ini menunjukkan betapa peperiksaan dilakukan sekarang sudah menyimpang daripada tujuan sebenar peperiksaan diadakan, iaitu untuk menguji tahap pengetahuan dan pemahaman murid terhadap apa yang dipelajarinya di sekolah.
Apakah kita mahu sekolah tidak lagi menjadi institusi yang mana kita boleh mengharapkan kanak-kanak mendapat didikan dan pengetahuan terhadap ilmu? Sekolah sepatutnya adalah tempat kanak-kanak boleh mengasah minda dan diberi tunjuk ajar untuk berfikir dan berinteraksi, bukannya menghafal sesuatu untuk lulus peperiksaan tanpa memahami apa yang dipelajari.
Ini bermakna keseluruhan sistem persekolahan juga perlu dirombak, yang mana murid digalak untuk belajar dan berfikir, yang mana mereka digalak oleh guru untuk bertanya dan mempersoalkan sesuatu tanpa menerima bulat-bulat apa yang diajarkan guru. Bukan seperti sekarang guru tidak menyenangi murid yang kritis dan yang banyak mengajukan soalan.
Inilah saja cara untuk mengeluarkan lepasan sekolah yang boleh menghadapi cabaran terkini. Sekolah juga harus dijadikan tempat murid gembira memasuki kelas bukannya hendak ponteng kerana benci ke sekolah.
Sebenarnya masalahnya bukanlah peperiksaan, tetapi bagaimana peperiksaan itu dikendalikan. Peperiksaan sememangnya amat diperlukan untuk menilai tahap pengetahuan murid. Ini akan hanya dapat diperoleh menerusi cara peperiksaan dikendalikan. Peperiksaan yang terlalu memberi tumpuan kepada soalan objektif tentunya tidak akan dapat mengeluarkan pelajar yang boleh berfikir dan berhujah dengan baik.
Yang salah juga ada sesetengah guru yang tidak menggalakkan murid mereka persoalkan sesuatu. Tumpuan sepatutnya ialah yang mana murid ingin belajar kerana ia menyeronokkan dan tidak membosankan. Maka itu, persekolahan tidak sepatutnya hanya memberi tumpuan kepada proses pengajaran, tetapi lebih kepada minat murid ingin belajar kerana ia menyeronokkan.
Ini bermakna keseluruhan sistem pelajaran sedia ada perlu dirombak, bukannya peperiksaan UPSR atau PMR dihapuskan. Kedua-dua peperiksaan itu masih boleh diteruskan, tetapi mempunyai soalan yang memerlukan pelajar berfikir untuk menulis jawapan. Sepatutnya peperiksaan digunakan untuk menguji tahap pengetahuan seseorang murid terhadap sesuatu mata pelajaran yang diambilnya. Bukan memilih jawapan yang betul daripada empat yang diberikan yang tidak memerlukan pemikiran tetapi hanya perlu diingat kembali apa yang dihafal.
Ini tentunya tidak dapat menunjukkan pengetahuan dan kecerdasan pelajar. Waktu bersekolah sepatutnya dijadikan masa yang dihargai pelajar hingga dia tidak sabar mahu ke sekolah, bukannya liat untuk ke sekolah.
Penulis ialah Felo Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Berita Harian Online: 8 Julai 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan