Khamis, 1 Julai 2010

Ambil segera guru Mandarin, Tamil di SK: Muhyiddin

2010/07/01

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu pengambilan guru bahasa Mandarin dan Tamil untuk ditempatkan di kira-kira 7,000 sekolah kebangsaan dipercepatkan mulai tahun depan dalam usaha kerajaan menyediakan pembelajaran kedua-dua bahasa berkenaan kepada pelajar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, untuk memastikan mulai tahun depan dan seterusnya, sekolah kebangsaan terlebih dulu mempunyai guru bahasa Mandarin dan bahasa Tamil yang akan mengajar kedua-dua bahasa berkenaan di situ.

"Ia tidak diwajibkan (pelajaran Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil), tetapi pastinya ibu bapa yang datang dari latar belakang Mandarin dan Tamil akan lebih selesa membenarkan anak mereka belajar di sekolah kebangsaan tanpa masalah," katanya ketika sesi soal jawab pada majlis Wacana Perdana Ke-11 di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, semalam.

Muhyiddin menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Peranan Pelajaran Dalam Pembangunan Pemimpin’ pada majlis berkenaan.

Beliau berkata, sistem pendidikan negara yang mengandungi aliran Mandarin, Tamil dan Kebangsaan tidak ada masalah kerana semua yang diperlukan untuk pembelajaran murid ada di dalamnya.

Justeru, katanya, soal aliran itu tidak wajar diperdebatkan kerana akan menimbulkan kekeliruan sebaliknya dibiarkan sebagai legasi dan pada masa sama kerajaan berusaha untuk meningkatkan kemudahan pendidikan di sekolah kebangsaan untuk menarik minat semua kaum bersekolah di situ.

"Saya sebut sebelum ini bahawa kita akan menyediakan guru untuk mengajar bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan, ini tentu ada sebabnya mengapa cadangan itu dibuat.
"Jadi anak India atau Cina perlu mempelajari bahawa ibunda mereka dan apabila mereka pergi ke sekolah kebangsaan, kita ajar bahasa ibunda," katanya.

Pada 13 Jun lalu, Muhyiddin dipetik sebagai berkata, kerajaan mengkaji cadangan memperkenalkan subjek Bahasa Mandarin dan Bahasa Tamil di sekolah kebangsaan bagi membolehkan murid pelbagai kaum di negara ini menguasai lebih daripada dua bahasa, termasuk bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Sementara itu, dalam ucaptamanya pada wacana itu, Muhyiddin berkata, usaha untuk menyediakan modal insan dalam transformasi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 turut membabitkan transformasi dalam pendidikan.

"Dengan berpandukan kepada Falsafah Pendidikan Negara, kita perlu menilai semula kurikulum dan cara menilai prestasi dan kejayaan pelajar.

"Sistem penilaian yang holistik dan berkesan perlu diperkenalkan untuk membolehkan guru mengenalpasti mereka yang benar-benar berpotensi dan membantu mereka lebih cemerlang," katanya.

Berita Harian Online: 1 Julai 2010

Tiada ulasan: