KEBENARAN diberi kepada guru-guru kategori DG41-DG48 aktif politik merupakan satu lagi 'bonus' diberi kepada golongan pendidik. Kenapa begitu berminat sangat mereka kepada politik hanya individu yang berkenaan sahaja boleh menjawab. Tak bolehkah mereka berkhidmat kepada rakyat melalui gerakan atau pertubuhan yang lain?
Jasa kaum guru pada era penentangan terhadap penjajah dan seterusnya ke era menuntut kemerdekaan tidak dapat dinafikan. Mereka merupakan penggerak strategi di samping penglibatan para wartawan.
Hal ini berlaku kerana mereka berjawatan dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Kurang kita dengar penoreh getah atau petani yang berperanan sebagai 'ketua' dalam gerakan seperti ini.
Sesungguhnya jasa para guru dan wartawan sebagai pejuang terdahulu sangat besar. Jasa mereka tak patut dilupakan. Namun era sekarang telah berubah. Tidak ada lagi penentangan terhadap penjajah. Tidak ada lagi penentangan untuk kemerdekaan.
Cerdik pandai bertambah dan bercambah di sana sini dalam pelbagai bidang. Banyaknya persatuan dengan pelbagai nama dan berjuang atas nama pembangunan. Jadi, adakah persatuan atau pertubuhan sebegini tidak layak lagi 'glamour' dianggotai oleh para guru?
Arahan perintah am menghalang kakitangan peringkat tinggi menyertai politik. Begitu juga terhadap jawatan-jawatan yang berkepentingan walaupun kakitangan itu berada di taraf N27 dan seumpamanya. Kenapa arahan ini dikenakan? Antaranya supaya tidak berlaku konflik tugas.
Dalam pemilihan jawatan dikhuatiri berlaku lobi melobi. Yang mempunyai 'kelebihan tertentu' pasti menggunakan jawatannya untuk menarik penyokong. Perkara sebegini adalah tidak sihat dan pasti menimbulkan kekecewaan kepada yang tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan. Untuk mendapat sokongan pastinya tipis.
Sehubungan dengan itu, walaupun kategori DG41-48 dibenarkan, tetapi hendaklah diadakan sekatan. Bukan semua pegawai kategori tersebut bertugas di sekolah. Ada yang bertugas di peringkat kementerian, jabatan, di Pejabat Pelajaran Daerah dan pengetua sekolah.
Faham-faham sajalah apabila mereka mempunyai kuasa membuat keputusan atau boleh mempengaruhi kepada keputusan.
Akhirnya saya cadangkan mereka yang berjawatan di peringkat pengurusan tidak dibenarkan terlibat secara aktif dan memegang apa-apa jawatan dalam politik. Hal ini untuk mengelakkan konflik kepentingan. Syorkan mereka bergiat dalam persatuan-persatuan belia dan seumpamanya.
PESARA TUA
Rawang, Selangor
Utusan Malaysia Online: 29 Julai 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan