Isnin, 5 Julai 2010

Pelajar UPSI belum tentu jadi guru?

JIKA anda bercita-cita menjadi guru dan ditawarkan belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), jangan cepat teruja. Ini kerana, anda belum tentu lagi menjadi guru sekalipun anda berjaya mendapat segulung ijazah dari universiti ini.

Masyarakat masih beranggapan bahawa nasib graduan ijazah pertamaUPSI sama seperti graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) iaitu mereka akan menjadi guru dan ditempatkan di sekolah-sekolah Malaysia. Anggapan ini salah. Semakin hari, UPSI semakin melupakan peranannya mendidik dan melahirkan guru Malaysia dan semakin ghairah menawarkan kursus-kursus untuk pasaran terbuka bukan guru.

UPSI meminggirkan bidang pendidikan siswazah guru secara sistematik dengan berselindung di sebalik nama perancangan penjenamaan dan penstrukturan semula fakulti. Semua kursus-kursus yang berkaitan dengan subjek mata pelajaran sekolah di kesemua lapan fakulti yang ada sebelum ini mula dipinggirkan dengan melonggokkannya di satu fakulti saja iaitu Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia.

Tindakan peminggiran ini jelas apabila pensyarah-pensyarah yang mengajar kursus-kursus Sains dan Matematik untuk bakal-bakal graduan guru sekolah dikeluarkan dari Fakulti Sains dan Teknologi serta dilonggokkan di Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia.

Alasannya, pensyarah-pensyarah ini fokus kepada subjek Sains dan Matematik yang akan diajar di sekolah-sekolah dan seharusnya dipindahkan ke fakulti berkenaan. Saki baki Fakulti Sains dan Teknologi yang tertinggal diberi penjenamaan semula dengan nama Fakulti Sains dan Matematik.

Jika berasaskan kepada sebab yang diberikan, ini bermakna Fakulti Sains dan Matematik hanya akan menawarkan kursus-kursus untuk pasaran terbuka bukan guru sahaja. Jika UPSI membuat pengkelasan berdasarkan kriteria sebegini, kesannya nanti, hanya tinggal Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia sahaja yang mendidik graduan bakal guru manakala lapan fakulti lain yang selebihnya akan menawarkan kursus-kursus untuk pasaran terbuka.

Layakkah UPSI terus memegang gelaran universiti pendidikan jika nanti hanya satu daripada sembilan fakultinya yang fokus kepada pendidikan guru? Apa akan jadi dengan tujuh fakulti lama yang tinggal dan satu fakulti baru yang telah ditubuhkan? Semuanya untuk pasaran terbuka bukan guru?

Sebenarnya, penstrukturan semula fakulti lebih kepada gimik pihak pengurusan untuk mengaburi mata masyarakat yang kononnya telah berlaku perubahan besar di UPSI. Kenyataannya, perubahan hanya kepada kedudukan bilik-bilik pensyarah akibat dipindahkan ke ‘fakulti longgok’. Mereka masih mengajar mata pelajaran yang sama kepada pelajar. Tidak ada apa-apa nilai tambah yang diperoleh daripada penstrukturan ini, selain menyusahkan pihak-pihak yang terlibat. Inilah penjenamaan semula dan penstrukturan semula fakulti yang UPSI banggakan sekarang.

UPSI kini berhasrat untuk menggadaikan warisan tradisinya mendidik guru. Sedangkan universiti-universiti lain berusaha untuk menawarkan lebih banyak kursus pendidikan tetapi UPSI sendiri mula meminggirkan bidang pendidikan guru yang menjadi darah daging UPSI sejak zaman SITC tahun 1922 lagi.

Inilah salah satu contoh masalah yang berlaku.

Barangkali UPSI berpendapat, hak untuk menawarkan sebarang kursus adalah hak UPSI. Masalah untuk menempatkan graduannya di sekolah-sekolah adalah masalah Kementerian Pelajaran. UPSI tidak perlu fikir itu semua sebab yang paling penting, UPSI boleh nampak gah menawarkan kursus-kursus yang tidak ditawarkan oleh Institut Pendidikan Guru atau mana-mana IPTA lain. Masalah penempatan guru untuk graduannya, biarlah kementerian berkenaan yang selesaikan.

Nyata sekali, UPSI tidak pernah mengkaji sedalam-dalamnya pasaran guru untuk kesemua graduannya. Semakin hari, semakin galak UPSI merancang dan menawarkan pelbagai kursus yang tidak relevan dengan keperluan kurikulum sekolah-sekolah di Malaysia. UPSI semakin lupa diri dan merasakan ia perlu sama dengan IPTA lain. Sebab itulah UPSI ingin sama-sama berlumba dengan IPTA dan IPTS lain dalam menawarkan lebih banyak kursus untuk pasaran bukan guru.

Sifat angkuh UPSI sekarang yang enggan memahami keperluan kementerian adalah punca utama masalah penempatan graduannya di sekolah-sekolah.

Untuk mengubat hati, UPSI mengatakan bahawa graduannya masih boleh menjadi pensyarah di politeknik.

Sebenarnya, peratusan graduan UPSI yang berjaya menjadi pensyarah di politeknik amatlah kecil. Jika benar peratusannya tinggi, hebahkanlah jumlah peratusannya kepada masyarakat supaya boleh menjadi kebanggaan. Masyarakat di luar sana berhak tahu kerana mereka yang akan menghabiskan banyak duit menghantar anak-anak mereka belajar di UPSI.

Kepada anda yang benar-benar bercita-cita menjadi guru, anda berhak membuat pilihan yang lebih tepat. Ketika ini, pilihan terbaik anda adalah Institut Pendidikan Guru (IPG) kerana selain mendapat bantuan elaun semasa belajar, peluang untuk ditempatkan di sekolah-sekolah juga jauh terjamin berbanding graduan UPSI. Setidak-tidaknya, anda tidak akan menganggur untuk satu tempoh yang lama sambil menanggung beban dengan hutang PTPTN. Semak semula surat tawaran anda jika ditawarkan ke UPSI dan fahamilah erti sebenar ‘kursus terbuka’ jika tertulis di dalamnya. Pilihan sebenar di tangan anda.


Pemerhati Pelajar

Tanjung Malim, Perak


Utusan Malaysia Online: 5 Julai 2010

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya tidak pasti adakah kenyataan bahawa berlaku penstrukturan program dan fakulti di UPSI. Saya tidak kisah semua itu asalkan tidak merugikan para mahasiswa yang rata-rata dari golongan miskin dan sederhana. Para mahasiswa yang belajar disana datang dari pelbagai tempat di seluruh Malaysia dengan harapan bahawa mereka keluar dari UPSI terus diserap sebagai guru terlatih.
Jika kenyataan ini benar maka UPSI akan membayar harga yang mahal kerana selain daripada pelbagai pihak akan mengutuk pengurusannya yang telah lari daripada tujuan asal penubuhan UPSI sendiri khususnya golongan guru yang selama ini berbangga kerana ada sebuah menara gading yang ditubuhkan di atas perjuangan guru-guru senior terdahulu , UPSI juga yang dahulunya dipanggil MPSI kemudian ditukarkan kepada IPSI dan seterusnya menjadi UPSI sekarang akan kehilangan ramai mahasiswa baru kerana sebagai ibubapa kami tidak mahu membelanjakan wang ringgit begitu sahaja yang akhirnya menyusahkan anak sendiri. Kami tidak mahu anak kami keluar dari sana sebagai pemegang Sarjana Muda Sains pelbagai pengkhususan tetapi akhirnya menganggur tanpa sebarang pekerjaan apa lagi menjadi guru terlatih.
Sebagai ibubapa kepada pelajar yang sedang belajar di UPSI tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang telah mengelirukan kami sehingga merugikan masa depan anak-anak kami, membuang masa belajar selama empat tahun di sana, membuang banyak wang ringgit semata-mata mahu anak berjaya menjadi seorang guru terlatih akhirnya berkecai.
Namun begitu saya berharap apa juga perubahan di UPSI tidak akan menyimpang dari tujuan asal penubuhannya iaitu melahirkan seorang guru yang terlatih.

Tanpa Nama berkata...

sebenarnya bukan di UPSI sahaja tetapi di IPTA lain pun ada ISM Pendidikan (open market)..sebenarnya bergantung kepada kursus yang diambil.Jika bersesuaian dgn subjek yg diajar disekolah,sudah pasti ada peluang.

Tanpa Nama berkata...

Saya tertarik dengan kenyataan ini kerana ia memperlihatkan betapa sempitnya pandangan sesetengah masyarakat terhadap pendidikan. apakah yang ditekankan oleh mereka yang menjadi pelanggan kepada Kementerian Pelajaran? kaedah mengajarkah atau isi pelajaran? Walaupun saya bukan dari UPSI tetapi saya pernah berkhidmat di sana semasa ia berjenama SITC. penjenamaan atau penstrukturan semula mana-mana organisasi itu sememangnya menjadi lumrah kepada mana-mana institusi yang tidak mahu ketinggalan dalam arus kemajuan dunia. Universiti Oxford yang ditubuhkan sejak abad ke-11 lagi mengalami beratus-ratus malah beribu-ribu kali perubahan. sebab itulah ia menjadi universiti unggul dunia. Komen di atas menunjukkan salah tanggap mereka yang mungkin kurang faham tentang keperluan pendidikan masa kini. matlamat penubuhan UPSI untuk melahirkan pendidik bukan sekadar untuk Malaysia bahkan dunia sesuai dengan kedudukannya sebagai universiti. jadi kita harus faham konsep univers itu. Saya berpendapat jika UPSI mengugurkan Ijazah Sarjana muda pendidikan secara keseluruhannya, barulah ia lari dari matlamat penubuhannya. Ini perlu kita faham dan eloklah kita jangan terlalu beremosi dalam membicarakan dasar upsi. Soal penerimaan pelajar ke Kementerian Pelajaran, saya berpendapat Kementerian perlu memikirkan semula apakah graduan universiti swasta seperti Open Universiti yang matlamat penubuhannya untuk keuntungan lebih tinggi mutunya daripada UPSi iaitu satu universiti awam yang mendokong matlamat Kerajaan Malaysia???

haslina berkata...

Saya setuju mengatakan upsi telah lari sejarahnya. Upsi spttnya mengekalkan identiti sejarah penubuhan nya..yg mengeluarkan tokoh2 guru yang hebat2