Khamis, 8 Julai 2010

Pelajar naiki bot patut dipantau

2010/07/08

KEJADIAN 17 pelajar menempuh detik cemas bot yang dinaiki karam ketika menyeberangi Sungai Muar untuk pulang ke rumah pada 2 Julai lalu mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa pelajar lemas kerana berulang alik ke sekolah atau menjalani aktiviti kokurikulum. Nasib baik semua pelajar berkenaan terselamat.

Kementerian Pelajaran mesti mempunyai data lengkap mengenai pelajar yang menggunakan pengangkutan air untuk berulang-alik ke sekolah di seluruh negara. Maklumat ini boleh digunakan untuk mendapatkan kerjasama pihak penguat kuasa berkaitan supaya pemantauan berkala dilakukan untuk memastikan pengusaha bot memiliki lesen, bot dalam keadaan baik, tidak membawa penumpang berlebihan dan menyediakan jaket keselamatan mencukupi serta dalam keadaan baik.

Oleh sebab pelajar menaiki bot setiap hari ke sekolah, elok jika mereka memiliki sendiri jaket keselamatan.

Jaket berkenaan boleh dijaga dengan baik, sentiasa berada dalam beg sekolah dan sudah pasti dipakai setiap kali menaiki bot.

Amalan ini boleh mendidik mereka meningkatkan disiplin kendiri dan menjadi contoh kepada sebahagian penumpang lain yang bersikap negatif terhadap pemakaian jaket keselamatan.

Pihak sekolah boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan bantuan khas daripada Kementerian Pelajaran atau melalui sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membantu pelajar membiayai kos pembelian jaket keselamatan.
Kebolehan berenang juga amat penting supaya mereka berupaya menyelamatkan diri apabila berlaku kecemasan.
Sehubungan itu, program latihan kemahiran renang di bawah kelolaan Pejabat Pelajaran Daerah boleh difikirkan untuk dilaksanakan secara berpusat di daerah masing-masing yang ada kemudahan kolam renang.

ZIN MARKAM,
Pontian, Johor

Berita Harian Online: 8 Julai 2010

Tiada ulasan: