Sabtu, 31 Julai 2010

Beri perhatian terhadap keselamatan pelajar

KUALA LUMPUR 30 Julai - Para guru diminta memberi perhatian terhadap aspek keselamatan pelajar di kawasan sekolah termasuk selepas sesi persekolahan bagi memastikan mereka tidak terdedah dengan risiko jenayah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom ketika membuat gesaan itu berkata, adalah menjadi tanggungjawab guru untuk memastikan keselamatan pelajar yang berada di kawasan sekolah.

"Guru haruslah memantau pelajar di kawasan sekolah termasuk membantu mereka yang menghadapi kesukaran menghubungi ibu bapa untuk pulang dan memberi bantuan seperti menelefon penjaga atau ibu bapa pelajar tersebut.

"Pelajar yang berseorangan di kawasan sekolah selepas waktu sekolah, terdedah pada bahaya tertentu seperti jenayah penculikan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian seorang pelajar di Besut, Nur Muni Ainun Izzati Mohd. Roslan, 15, yang diculik ketika baru keluar dari pintu pagar sekolahnya pada pukul 4.30 petang kelmarin.

Nur Muni Ainun Izzati diculik oleh seorang pemuda, 23, dan remaja berusia 15 tahun tetapi cubaan mereka gagal setelah kereta yang dinaiki terbabas ke dalam parit.

Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan tidak sedarkan diri dan menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Dua suspek dalam kes itu kemudiannya ditahan polis dan kini direman seminggu untuk siasatan lanjut.

Alimuddin juga meminta para pengetua dan guru besar sentiasa mengingatkan pelajar mereka agar lebih berhati-hati terutamanya jika didekati oleh orang yang tidak dikenali.

Katanya, pelajar juga dinasihatkan supaya tidak berada bersendirian tetapi haruslah bergerak secara berkumpulan bagi mengurangkan risiko jenayah.

Utusan Malaysia Online: 31 Julai 2010

Tiada ulasan: