Sabtu, 31 Julai 2010

Guru baru kesal pembahagian tugas warden asrama tidak adil

2010/07/31

SAYA rasa terpanggil untuk mengutarakan perkara ini selepas bertukar maklumat dengan rakan senior yang menjadi warden di asrama sekolah saya. Daripada maklum balas yang saya dapati sebahagian besar daripada mereka berasa tugas sebagai warden asrama adalah satu beban yang terpaksa mereka tanggung kerana guru lain tidak sanggup melakukannya.

Mereka terperangkap dalam tugas ini atas beberapa keadaan antaranya mahu berkhidmat di sekolah itu, mahukan tempat tinggal yang hampir dengan sekolah (ada kuarters), rumah dekat dengan sekolah atau guru baru.

Ada yang sudah menjawat jawatan ini hampir 10 tahun tanpa diganti dengan guru lain sedangkan di sekolah saya bertugas ini terdapat lebih 100 guru.
Sebagai guru baru di sekolah itu saya terima jawatan warden ini selepas diarah oleh pengetua walaupun saya tinggal agak jauh dari asrama. Pada mulanya saya berasa bertugas seminggu dua kali mungkin tidak mendatangkan banyak masalah.

Tetapi selepas tujuh bulan berlalu baru saya dapat mengesan beberapa kelemahan dalam agihan tugas dan tanggungjawab warden dengan guru lain di sekolah, guru mata pelajaran termasuk guru bertugas harian.

Warden bertugas memang bertanggungjawab terhadap keselamatan, kebajikan dan kesihatan pelajar asrama. Tetapi apa yang berlaku ialah apabila pelajar asrama yang mengadu tidak sihat atau memerlukan rawatan ke hospital sewaktu persekolahan, warden asrama akan dicari dan diminta menghantar pelajar ke hospital. Sedangkan pelajar yang tidak tinggal di asrama akan diurus oleh guru bertugas.

Sepatutnya pelajar asrama yang sakit sewaktu persekolahan mesti diambil tindakan oleh guru bertugas pada hari berkenaan sama seperti pelajar lain juga. Warden akan bertindak jika pelajar asrama jatuh sakit selepas waktu persekolahan sama ada petang, malam atau lewat pagi. Itu memang tanggungjawabnya.
Pernah seorang guru mempersoalkan kenapa beliau perlu datang satu malam untuk membimbing pelajar asrama sedangkan warden bertugas ada? Bukankah warden dibayar elaun untuk bertugas sebagai warden menjaga pelajar asrama?

Banyakkah elaun yang diterima warden itu sehingga semua perkara warden kena buat termasuk memberi bimbingan dalam mata pelajaran tertentu? Bukankah pelajar asrama itu pelajar mereka juga?

Warden asrama yang mendapat lantikan rasmi daripada Jabatan Pelajaran Negeri menerima elaun RM240 sebulan dengan tugas 24 jam sehari selama 30 hari. Dalam erti kata lain warden asrama menerima elaun RM8 sehari atau 33 sen sejam!

Saya mohon pihak Kementerian Pelajaran mencari satu formula yang komprehensif dalam usaha memperbaiki kebajikan warden asrama ini. Ada banyak aspek yang perlu diperbaiki dan diberi perhatian segera. Jawatan Guru Warden Asrama yang tetap sudah lama diuar-uarkan tapi senyap tanpa berita. Adakah 33 sen sejam itu masih relevan dengan situasi masa kini?

WARDEN BARU,
Seremban

Berita Harian Online: 31 Julai 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bukan sahaja guru malah kami kumpulan pelaksana juga diminta menjadi warden kerana guru tidak berminat atas alasan komitmen kerja yang banyak sekarang ini. Elaun yang diberikan tidak berbaloi dengan tugas kerana jika difikirkan semula elaun sebanyak rm240 jika wardennya seramai 4 orang maka tugasnya hanyalah sehari kerja ehari cuit tapi bagaimana dengan wardennya hanya layak 2 orang? Tiada cuti langsung malahan kami terpaksa bekerja setiap hari demi elaun rm240 tersebut. Jika ada hal keluarga mulalah kami risau akan pelajar yang terpaksa ditinggalkan. Apa pun yang berlaku kami tetap dipertanggungjawabkan. Adilkah begini? Hingga sekarang ni pun saya masih belum memperolehi elaun sedangkan telah menjadi warden sejak januari 2017. Perlbagai alasan diberikan oleh pihak yang melulus. Siapa yang nak bayar tunggakan elaun tersebut. Mohon kepada YB Menteri lihatlah kembali akan tugas kami ini dan berikanlah yang terbaik untuk kami demi menjaga disiplin dan keharmonian asrama.