Rabu, 28 Julai 2010

Pemilihan guru cemerlang dilakukan secara profesional

2010/07/28

KEMENTERIAN Pelajaran ingin merujuk kepada aduan Guru Lama daripada Perak dalam ruangan ini bertarikh 19 Julai lalu bertajuk ‘Nazir wajar pantau guru cemerlang percuma’.

Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) adalah bahagian di Kementerian Pelajaran yang diberi mandat mentadbir urus segala hal pemilihan dan penilaian calon guru cemerlang.

Tugas ini adalah selaras dengan fungsi JNJK iaitu sebagai bahagian yang bertanggungjawab bagi memastikan taraf pengajaran yang memuaskan diwujudkan dan dikekalkan di institusi pendidikan.
Dakwaan Guru Lama bahawa proses penilaian guru cemerlang pada tahun lalu hanya berdasarkan borang semata-mata serta sokongan pengetua tanpa pemantauan daripada mana-mana pihak adalah tidak benar.

Setiap borang permohonan yang dikemukakan kepada JNJK akan melalui dua proses saringan. Semua borang permohonan juga akan disemak secara teliti oleh Jawatankuasa Penilaian Guru Cemerlang bagi memastikan calon memenuhi syarat umum dan syarat khusus.

Jawatankuasa ini juga mengambil kira Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) bagi tiga tahun berturut-turut serta sumbangan dan aspirasi calon yang dihuraikan dalam bentuk esei.

Hanya permohonan yang memenuhi syarat dan melepasi skor markah yang ditetapkan saja akan melalui proses penilaian yang kedua
Calon yang melepasi proses penilaian pertama dan kedua akan dipertimbang untuk diperaku.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran

Berita Harian Online: 28 Julai 2010

Tiada ulasan: