Jumaat, 2 Julai 2010

Guru gusar perubahan pekeliling

2010/07/02

BERDASARKAN surat siaran bahagian kewangan, Kementerian Pelajaran Bil. KP 1574/4/40/-Jld.10/(107) bertarikh 18 April 2000 dan Pekeliling JPA(S)63/163/(30) bertarikh 23 Ogos 1994, seseorang guru layak menuntut bayaran perpindahan dan pertukaran termasuk disediakan kemudahan kargo bagi guru yang berpindah dari Sabah ke Semenanjung.

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Sabah pula pernah mengeluarkan surat siaran bahawa guru yang layak membuat tuntutan itu adalah mereka yang sudah berkhidmat melebihi empat tahun.

Baru-baru ini kedengaran bahawa terdapat guru yang berpindah ke Semenanjung tidak layak membuat tuntutan walaupun memenuhi syarat dengan alasan JPN tiada peruntukan. Perkara ini menggusarkan kami yang memasang impian untuk memohon pertukaran bagi sesi Januari 2011.

Apakah adil tindakan itu kerana jika perkara ini sahih, tentunya ia suatu penganiayaan bagi kami. Jika guru lain yang berkhidmat empat tahun berpindah bagi sesi Januari 2010 layak membuat tuntutan, kenapa kami yang berkhidmat melebihi 10 tahun dinafikan hak jika mendapat kelulusan pertukaran. Adakah kami perlu bergolok-bergadai untuk berpindah?

Maklum balas Kementerian Pelajaran dan JPN Sabah berhubung isu ini diperlukan segera. Sila keluarkan surat siaran jika terdapat perubahan dalam kaedah kelayakan tuntutan.

BAKAL GURU TERANIAYA,
Papar, Sabah

Berita Harian Online: 2 Julai 2010

Tiada ulasan: