Khamis, 29 Julai 2010

Minda Pengarang: Usah abai tugas di sekolah bila sudah berpolitik

2010/07/28

PEMBABITAN guru dalam arena politik tanah air bukanlah sesuatu yang baru. Ketika era sebelum kemerdekaan, guru adalah pemimpin politik yang aktif di pelbagai peringkat, tidak kira di kampung mahupun bandar. Sebagai golongan yang rapat dengan masyarakat, mendidik anak watan dan dianggap terpelajar pada ketika itu, pendapat dan pandangan mereka cukup berpengaruh dan dihormati. Profesion keguruan disanjung tinggi sehingga ke hari ini, walaupun kadang-kadang mereka berdepan dengan pelbagai tohmahan dan cabaran. Keputusan kerajaan membenarkan semula guru atau pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 bergiat kembali dalam arena politik seperti diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, kelmarin tentunya disambut baik semua pihak, khususnya pendidik. Langkah itu membuka peluang kepada mereka bertanding, dilantik atau memegang sebarang jawatan dalam parti politik, berkuat kuasa 1 Ogos ini. Ketika ini, hanya pegawai dalam kumpulan sokongan saja yang boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik memegang jawatan dalam parti, dengan syarat mendapat kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan. Tidak dinafikan, memang ada guru bergiat dalam politik secara diam-diam bagi mengelak sebarang tindakan dikenakan. Ia berdasarkan kepada Peraturan 21(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Dengan kelonggaran ini, 140,000 guru kini dibenarkan aktif dalam politik selepas 17 tahun mereka tidak membenarkan berbuat demikian. Kita percaya ramai di kalangan guru yang berminat mempunyai bakat besar dalam bidang politik tetapi terhalang oleh peraturan yang ditetapkan. Rata-rata guru dalam kategori gred itu berkelulusan tinggi, berpengalaman dan mempunyai banyak idea untuk disumbangkan kepada masyarakat melalui saluran politik. Guru adalah golongan paling rapat dengan generasi muda iaitu murid dan pelajar di sekolah. Keadaan itu membolehkan mereka menyampaikan mesej, dasar serta aspirasi negara dengan lebih mudah. Guru juga lebih dekat dengan masyarakat dan dapat melaksanakan serta merancang pelbagai aktiviti bersama penduduk setempat.

Bagaimanapun, kebenaran yang diberikan tidak bermakna mereka boleh mengabaikan tugas hakiki sebagai pendidik. Guru harus sentiasa bersikap profesional dalam menjalankan tanggungjawab dan tidak terbawa-bawa dengan kecenderungan berpolitik hingga ke sekolah. Kita bimbang, jika terlalu ghairah berpolitik dan gagal mengimbangi keadaan ini, yang akan rugi adalah pelajar dan anak bangsa sendiri. Mereka juga tidak wajar menghasut atau mempengaruhi pelajar supaya menyokong mana-mana parti. Sikap mencampuradukkan politik dengan tugas sebagai pendidik akan menjejaskan pelajaran pelajar dan masa depan mereka. Jika itu berlaku, ibu bapalah yang paling runsing dan kecewa. Walau apapun pegangan dan fahaman politik seseorang guru, mereka perlu melaksanakan agenda kerajaan atau pemerintah semasa. Jika ia gagal dilaksanakan akibat terlalu ghairah berpolitik, agenda pembangunan mungkin tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan. Guru dilihat sebagai golongan yang memiliki integriti. Selain itu, kita juga tidak mahu profesion guru tercemar dengan gejala politik wang serta perebutan jawatan secara keterlaluan.

Berita Harian Online: 29 Julai 2010

Tiada ulasan: