Ahad, 4 Julai 2010

Jabatan Pelajaran diarah lapor kes 17 nyaris lemas

Oleh Suzan Ahmad
bminggu@bharian.com.my
2010/07/04

Pelajar guna bot ke sekolah perlu dibekal jaket keselamatan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menghantar laporan lengkap berhubung kejadian 17 pelajar nyaris maut dalam kejadian bot karam di Sungai Muar, kelmarin.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata biarpun kejadian itu tidak meragut nyawa, insiden itu harus dijadikan iktibar kerana membabitkan nyawa pelajar yang menggunakan laluan air untuk berulang alik ke sekolah.

“Perkara ini sangat serius dan tindakan pantas perlu diambil sebelum perkara yang lebih buruk berlaku. Jangan nanti, nasi sudah menjadi bubur.

“Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) perlu mengambil perhatian serius terhadap prosedur pelajar yang terpaksa menggunakan kaedah pengangkutan sedemikian.

“Sehubungan itu, pertamanya, saya akan minta JPN memberi laporan lengkap mengenai kejadian ini terutama mengapa pelajar ini menggunakan bot untuk ke sekolah dan adakah pelajar ini tiada alternatif lain selain jalan air,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam kejadian semalam, 17 pelajar itu berdepan detik mencemaskan selepas bot yang dinaiki, karam akibat membawa penumpang melebihi had lima orang. Kesemua pelajar itu tidak memakai jaket keselamatan.
Mohd Puad berkata, pihaknya akan meminta JPN memberi penjelasan sama ada pelajar yang tinggal di kawasan itu menerima bantuan jaket keselamatan memandangkan Kementerian Pelajaran ada dana khusus untuk kelengkapan keselamatan seperti yang disalurkan kepada sekolah-sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Saya minta JPN buat siasatan menyeluruh sama ada pelajar ini layak dapat bantuan dan adakah pihak pengusaha bot yang gagal mengadakan kelengkapan keselamatan berkenaan selain berkemungkinan menjalankan operasi tanpa lesen,” katanya.

Selain kejadian terbaru di Muar, pada 17 Januari lalu, turut dikejutkan dengan tragedi perahu naga karam dipukul ombak kuat sehingga meragut lima pelajar dan seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Ling, Pulau Pinang yang sedang dalam latihan bagi menghadapi satu kejohanan pertengahan tahun ini. Sewaktu kejadian mangsa sedang menjalani latihan di perairan Pantai Macallum.

Pada 19 April 1999, 12 pelajar Sekolah Menengah Pusa, Betong maut apabila bot laju yang mereka naiki berlanggar dengan kapal pengangkut kayu di Sungai Saribas, Sarawak.

Berita Harian Online: 4 Julai 2010

Tiada ulasan: