Ahad, 8 Ogos 2010

1,000 guru mohon keluar Sarawak

Oleh Mohd Roji Kawi
mdroji@bharian.com.my
2010/08/08

Kementerian terpaksa laksana sistem kuota

KAPIT: Kementerian Pelajaran menerima hampir 1,000 permohonan daripada guru terutama yang berasal dari Semenanjung yang mahu ditukarkan dari Sarawak setiap kali proses perpindahan dilaksanakan pada Januari dan Jun setiap tahun.

Jumlah itu dilihat terlalu tinggi berbanding jumlah guru baru dari Semenanjung yang dibawa masuk iaitu hanya 100 orang setiap kali proses pertukaran dilaksana.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sebahagian besar permohonan dadalah dari guru berasal dari Kelantan.

“Kementerian pernah menerima hampir 4,000 permohonan daripada guru yang berasal dari Kelantan yang merayu ditempatkan di negeri asal mereka, sedangkan kekosongan di negeri terbabit hanya sekitar 50 orang.

“Bagi menangani isu pertukaran ini, kementerian terpaksa menggunakan pendekatan kemanusiaan dan mengetepikan keperluan. Ini kerana ada antara guru terbabit memohon untuk bertukar akibat masalah keluarga selain alasan sakit,” katanya selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama warga pendidik daerah Song di Sekolah Menengah Kebangsaan Song di sini, malam kelmarin.

Mohd Puad berkata, bagi mengatasi isu pertukaran guru itu, Kementerian melaksanakan sistem kuota untuk pengambilan guru baru iaitu masing-masing 30 peratus untuk Sabah dan Sarawak, manakala 40 peratus bagi Semenanjung.
Selain itu, kementerian juga berhasrat untuk mengimbangkan pengambilan guru lelaki dan wanita kepada 50-50.

“Tahun ini adalah tahun pertama kita melaksanakan sistem kuota serta menambah pengambilan guru lelaki, tetapi kita masih belum mencapai matlamat itu kerana terlalu banyak masalah yang dihadapi.

“Kita perlu lebih ramai guru lelaki untuk dihantar ke luar bandar. Ini kerana ketika ini, sebahagian besar guru yang bertugas di pedalaman adalah guru wanita.

“Nampaknya, sasaran kita untuk meningkatkan jumlah guru lelaki juga masih belum tercapai,” katanya.

Berita Harian Online: 8 Ogos 2010

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kesian orang2 Kelantan. Nak berkhidmat utk negeri sendiri pun payah. Naper ambik ramai sangat org kelantan jadi cikgu??

Tanpa Nama berkata...

Setuju bro. Tiap kali musim pertukaran cikgu2 Kelantan ni sibuk nak balik negeri sendiri. Sekolah kat sana sikit sangat. Kemudian timbullah masalah lain...antaranya kalau musim2 cuti dia menambah2 pulak. Sampai masanya KPM ambil guru baru ikut kuota kekosongan di negeri supaya cikgu tersbut senang balik negeri bila posting...yg dah tepu macam kelantan..beri sikit je tempat buat syarat je..

anonymous berkata...

emm...sy ni org KL, tp posting dapat di kelantan..agak pelik sbb senang juga dapat masuk kelantan ni..masa duk maktab, dgr cerita kelantan negeri paling penuh..tup..tup..kawan2 yg sama2 posting minta kelantan suma dpt blk negeri..yg sy ni, mintak kl dpt kelantan pula.. :p bila mengajar di sini, indah khabar dr rupa..byk lagi kekosongan guru..ntah dari mana khabar kononnya guru penuh..hmmmm...ni, sy nak mohon pertukaran balik ke selangor utk jan 2011..bagi peluang guru2 kelantan balik negeri dorg sendiri.. hee.. :)