2010/08/24
BACHOK: Seorang guru hanya mampu memendam perasaan apabila melihat dua kereta miliknya dan isteri musnah dalam kebakaran dipercayai angkara perbuatan khianat di rumah mereka dekat Jelawat di sini, awal pagi semalam.Kebakaran pada jam 4 pagi itu, memusnahkan kereta jenis Toyota Wish dan Perodua Myvi, bernilai RM150,000 milik guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kemudi dekat sini, Marzuki Ahmad Fatani, 35.
Dalam kejadian ketika semua penghuni rumah sedang nyenyak tidur itu, kereta Perodua Kancil milik ibu mangsa, Nor Asyikin Awang, 53, terselamat apabila tidak diapa-apakan penyerang.
Marzuki berkata, kebakaran kenderaan itu asalnya disedari adiknya, Siti Nor Farhana, 23, sejurus dikejutkan oleh bunyi letupan di halaman rumah.
Saya tinggal bersama ibu dan sembilan ahli keluarga. Kejadian disedari adik saya yang mendengar bunyi letupan kuat dari garaj kereta sebelum mengejutkan suaminya, Mohd Zain Husin, 34, untuk meninjau keadaan.
Sejurus menyedari api sedang marak, mereka bergegas mengejutkan kami. Saya tidak sempat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan kereta yang sedang terbakar kerana api marak dengan pantas.
Toyota Wish saya yang terbakar dulu, sebelum meletup dan menyambar Myvi milik isteri, menyebabkan seluruh keluarga menjadi cemas dan bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri, katanya yang enggan gambarnya dirakam ketika ditemui, semalam.
Marzuki berkata, sejurus keluar menyelamatkan diri di jalan raya depan rumah, mereka mendapatkan bantuan dua remaja bermotosikal yang lalu di situ kira-kira 15 minit kemudian untuk menghubungi bomba.
Saya mengesyaki kejadian ini perbuatan khianat kerana selepas anggota bomba dan penyelamat memadamkan kebakaran, saya menjumpai dua bekas berisi petrol di belakang Toyota Wish, katanya.
Berita Harian Online: 24 Ogos 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan