SANDAKAN 3 Ogos - Seramai 1,200 kerani dan pembantu am pejabat di jabatan dan Kementerian Pelajaran akan diserapkan ke sekolah-sekolah bagi menyelesaikan isu bebanan tugas yang ditanggung guru.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah penstrukturan semula kakitangan sokongan itu penting bagi membolehkan guru menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
"Kementerian juga akan menambah kakitangan sokongan, mengurangkan ujian-ujian di sekolah dan menetapkan setiap sekolah hanya mengadakan aktiviti luar tidak lebih dua kali sebulan sebagai pendekatan holistik menangani masalah bebanan tugas guru ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pendidikan anjuran Kesatuan Guru Sabah (STU) di sini hari ini.
Seramai 150 guru dari seluruh negeri menghadiri seminar yang turut dihadiri oleh Presiden STU Sabah, Suhaimi Othman.
Mohd. Puad berkata, kementerian juga akan mengambil guru untuk mengajar subjek sukan dan kurikulum secara kontrak dalam usaha mengurangkan beban tugas guru.
Selain itu, katanya, kementerian akan menambah bilangan guru sandaran tidak terlatih (GSTT) untuk menggantikan guru-guru yang bercuti panjang seperti cuti bersalin.
Sementara itu, dalam ucapannya, Mohd. Puad menyarankan agar guru sentiasa bersedia dan bijak mencipta kaedah berkesan selaras dengan tuntutan memartabatkan profesion perguruan negara.
Menjawab soalan salah seorang guru mengenai jawatan Pembantu Makmal Komputer (FT17) yang sebahagian besar diisi bukan anak tempatan Sabah, Mohd. Puad berkata, kementerian akan mengkaji perkara tersebut.
"Boleh dipertimbangkan dan saya akan memanjangkan kepada bahagian sumber manusia mengenai jawatan ini," katanya.
Sementara itu, Suhaimi berkata, seminar dua hari itu bertujuan menyokong dan mendedahkan warga pendidik di seluruh negeri ini mengenai dasar-dasar pendidikan dan kaedah-kaedah pelaksanaannya.
Katanya, warga pendidik yang terlibat dalam seminar itu perlu memanfaatkan sepenuhnya pelbagai informasi yang diperoleh dan mempraktikkannya dalam meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini.Utusan Malaysia Online: 4 Ogos 2010
1 ulasan:
Ngamlah tu setiap PK ada kerani sendiri mengurus fail, surat-surat, percetakan dan edaran, mencatat dan menyusun perkara-perkara penting dan lain-lain lagi.
PK datang tinggal cek dan TT surat penting lepas tu masuk kelas , ajar murid, bagi kerja, cek kerja murid, buat ringkassan, urus jawatan Pk dans...he..he..syoknya....
Catat Ulasan