2010/08/06
KUALA LUMPUR: Hasil kajian mengenai cadangan memperkenalkan subjek Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) sebagai mata pelajaran teras dijangka dapat dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, awal bulan depan.Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Md Dom, berkata Jawatankuasa Teknikal yang dibentuk bersama Kementerian Pelajaran serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan dipengerusikannya akan mengadakan mesyuarat pertama pertengahan bulan ini.
Beliau berkata, mesyuarat itu akan turut dihadiri tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbesar yang memperjuangkan isu agama, wanita dan pendidikan untuk turut sama memberikan pandangan bagi memantapkan cadangan berkenaan.
Katanya, perbincangan itu tertumpu kepada usaha KPWKM yang menggerakkan projek perintis bagi program kesihatan reproduktif melalui kokurikulum di lima sekolah terpilih.
“Kita akan mendapatkan sebanyak mungkin input daripada projek perintis itu selain pandangan daripada NGO wanita, pendidikan dan agama sebelum ia diperhalusi dan diputuskan kerajaan.
“Kementerian Pelajaran perlu mengenal pasti sama ada projek itu wajar digerakkan melalui kokurikulum atau sebagai mata pelajaran teras termasuk Biologi mahu pun Pendidikan Moral,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata Jawatankuasa Teknikal di kementerian itu akan membuat kajian teliti mengenai cadangan memperkenalkan subjek PKRS sebagai mata pelajaran teras.
Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, kementerian akan menerima maklumat jawatankuasa berkenaan yang terdiri daripada pegawai Kementerian Pelajaran; KPWKM serta pakar berkaitan masalah sosial untuk menentukan langkah lanjut mengenainya, termasuk sama ada akan memperkenalkan subjek berkenaan secara lebih bersepadu dalam pembelajaran sedia ada.
Projek perintis program kesihatan reproduktif melalui kokurikulum digerakkan KPWKM dengan kerjasama Kementerian Pelajaran bermula Jun lalu di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Terengganu.
Program yang dilaksanakan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu dilaksanakan berikutan kes kehamilan luar nikah membabitkan pelajar bawah umur semakin membimbangkan dan usaha membendung serta memberi pengetahuan mengenainya perlu dijalankan segera.
Berita Harian Online: 6 Ogos 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan