Ahad, 29 Ogos 2010

Kekal Tradisi Guru Didik Anak Bangsa


Cikgu Jumaat. Foto: Razali Nordin
Oleh Melati Mohd Ariff

Rencana ini menyorot sumbangan guru-guru Melayu dalam perjuangan memerdekakan tanah air di samping mempelopori pemikiran baru mendidik anak bangsa untuk menjadi bangsa berilmu.

Ini ialah bahagian akhir daripada dua siri rencana

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Kedua-duanya ialah bekas guru yang menyemarakkan budaya ilmu bukan sahaja di bilik darjah tetapi berpeluang berkhidmat dalam pentadbiran pendidikan.

Seorang dihantar ke luar negara untuk mendapatkan latihan perguruan di bawah dasar kerajaan Persekutuan Tanah Melayu sebelum merdeka menawarkan skim untuk melatih tenaga guru sebagai persediaan berdepan dengan perkembangan rancak persekolahan.

Sementara yang seorang lagi menjadi guru pelatih seawal usia 15 tahun, sebaik tamat darjah enam.

Bagi mendapatkan kemahiran mengajar seterusnya, beliau mengikuti latihan formal perguruan di Maktab Latihan Sultan Idris (SITC) untuk guru Melayu.

Meskipun latar belakang latihan perguruan yang berbeza tetapi kedua-duanya dipasak semangat kental untuk menimba sebanyak mungkin ilmu dalam tuntutan gagasan mendidik anak bangsa.

Datuk Jumaat Mohd Noor, anak kelahiran Batu Pahat Johor berpeluang mengikuti latihan perguruan di Malayan Teachers' Training College, Brinsford Lodge, England. Ketika itu beliau baru berusia 19 tahun.

Bagi Mohd Nor Long pula yang berasal dari Kuala Sepetang, Perak, beliau memberitahu Bernama, memperoleh gred satu dan kemudian menjadi guru pelatih dengan gaji RM40 sebulan sudah dikira cukup hebat ketika itu.

SEMANGAT MEMBARA

Ketika Jumaat mengikuti kursus perguruan di England, negara yang dikenali sebagai Malaya berada di ambang kemerdekaan. Bersama dengan beliau ada sekitar 300 pelajar lain dan hanya sebahagian kecil pelajar Melayu.

Meskipun berada jauh dari tanah air, gema laungan kemerdekaan seakan-akan dapat turut didengari di kota London di mana turut diadakan perayaan bagi menyambut hari yang bersejarah itu.

Menurut beliau, ketika itu tiada rasa perkauman, masing-masing begitu teruja dengan perasaan Malaya akan menjadi sebuah negara baru.

Malah, katanya, beliau dan rakan-rakan sudah pun menyanyikan lagu Negaraku.

"Kami juga sudah bersedia untuk kembali ke tanah air sebagai guru baru dengan semangat baru, berbekalkan motivasi menggunung tinggi untuk membina negara setelah sekian lama dijajah.

"Semangat berkobar-kobar untuk balik berkhidmat walaupun gaji guru ketika itu hanya RM310 dicampur COLA RM60. Yang utama semangat untuk mendidik anak bangsa. Guru-guru ketika itu tidak pernah bertindak untuk meminta gaji lebih meskipun ada kesatuan.

"Saya sendiri sangat gembira bila balik dan nilai kegembiraan itu tidak dapat diukur atau digambarkan kerana masa pergi ke England negara masih dijajah, bila balik kita sudah merdeka.

"Matlamat kami mahu memperkukuh taraf perguruan dan tentu sekali pengalaman kami yang pelbagai dan belajar pula di England sudah tentu dapat memberikan manfaat yang besar kepada sistem pendidikan negara," Jumaat, 73, memberitahu Bernama dalam wawancara baru-baru ini.

BAHASA MELAYU

Kemerdekaan turut menjulang Bahasa Melayu kepada kedudukan utama dalam sistem pendidikan Persekutuan Tanah Melayu.

Menurut Jumaat, usaha berkenaan bermula dari Penyata Razak (1956) yang berhasrat menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah.

Usaha itu diteruskan berdasarkan Penyata Rahman Talib (1963) untuk memperbaik sistem pendidikan Tanah Melayu dan memartabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Memang banyak perkara perlu dilaksanakan di peringkat persekolahan. Pada 1957 sudah ada riak-riak supaya pelajaran menengah menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dilaksanakan.

"Beberapa sekolah terkemuka termasuk High School Batu Pahat, sekolah lama saya digunakan untuk membuka kelas-kelas menengah menggunakan Bahasa Melayu," katanya.

DUA BAHASA

Sekembalinya ke tanah air, Jumaat ditugaskan di High School Batu Pahat dan terpaksa mengajar dalam dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

"Saya tidak kembali sebagai guru sekolah Inggeris kerana saya juga mengajar dalam Bahasa Melayu termasuk untuk mata pelajaran Sains. Buku Sains yang digunakan dalam bahasa Inggeris dan saya terpaksa terjemahkan sendiri.

"Dalam masa yang sama sudah ada usaha untuk menterjemah buku Sains yang berbahasa Inggeris. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika itu di bawah Kementerian Pendidikan mengambil langkah membuat penterjemahan ini," katanya.

Atas inisiatif sendiri, Jumaat kemudian belajar dan mengambil peperiksaan Higher School Certificate (HSC) dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dengan pengkhususan dalam Pengajian Melayu.

"Masa itu guru-guru yang khusus dalam Pengajian Melayu memang diperlukan kerana rata-rata di sekolah tidak terdapat guru siswazah dalam mata pelajaran ini, (mereka) menunggu kami tamat pengajian," jelasnya.

Daripada guru dan guru besar, Jumaat bergerak kepada pelbagai jawatan dalam perkhidmatan pendidikan antaranya Pengarah Pelajaran Kedah, Pengarah Pelajaran Johor dan Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran.

Beliau juga menyandang jawatan Ketua Pengarah DBP dari 1987-1991 dan disambung kontrak untuk dua tahun lagi hingga 1993.

CUKUP HEBAT

Bagi Mohd Nor pula, 78, skop atau karier anak-anak muda ketika zamannya memang menjurus ke arah guru sahaja.

"Tak nampak jalan lain lagi, jalan yang dapat lebih meningkatkan kehidupan akan datang adalah guru," katanya.

Namun menjadi guru pada usia yang amat muda tanpa sebarang latihan asas sememangnya cukup getir bagi dirinya yang kehilangan bapa ketika berusia 10 tahun.

Beliau cukup ingat dengan tarikh dia menjadi guru iaitu 1 Feb 1947.

Menurut beliau, guru pelatih masa itu bukan guru sementara dan ditakrif sebagai orang kerajaan, guru gred 4.

"Saya terus masuk mengajar, latihan memang tak ada, tulis pun di papan hitam. Murid-murid saya ada yang sebaya dengan umur saya bahkan bila saya balik ke rumah, petang-petang main dengan anak murid saya.

"Bagaimanapun, bila sudah menjadi guru perangai kena bagus, tidak boleh merayau-rayau, kenalah disiplinkan diri sendiri," Mohd Nor mengimbau kisah silamnya.

Namun, katanya menjadi guru tetap menjadi kebanggaan kerana hanya yang pintar sahaja boleh bergelar guru ketika zamannya. Yang tercicir, tambahnya akan menjadi polis, tentera atau peon (budak pejabat).

Menurut beliau, menjadi guru juga satu pencapaian yang cukup hebat dan memang diharap-harapkan berbanding hari ini di mana ada yang menjadi guru kerana tiada pilihan pekerjaan lain.

Beliau mengajar selama dua tahun sebelum menduduki peperiksaan untuk ke SITC atau Maktab Latihan Sultan Idris untuk guru Melayu yang ketika itu dianggap sebagai menara gading yang cukup hebat.

"Kalau dapat masuk ke SITC, macam dapat masuk universiti. Bagi mereka yang datang dari kampung, mesti buat kenduri untuk satu kampung," kata Mohd Nor.

Walaupun belajar dan kemudiannya mengajar dalam Bahasa Melayu, beliau ternyata tidak mahu ketinggalan daripada menguasai bahasa Inggeris dengan belajar sendiri.

Beliau juga tidak malu meminta bantuan kawan-kawannya berbangsa India di samping mendapat tunjuk-ajar daripada seorang tuan punyai kedai buku (Muslim India), yang mesra dipanggil Pak Hussin.

PELBAGAI PERANAN

Mohd Nor juga berkata guru sebelum dan pasca merdeka memikul pelbagai tanggungjawab memandangkan kedudukan tingginya dalam masyarakat Melayu khususnya.

Bukan setakat mendidik anak bangsa, mereka juga turut menggembleng tenaga memperjuang nasib bangsa Melayu, mencetuskan kesedaran ekonomi di samping perjuangan kemerdekaan tanah air dan menerajui gerakan bahasa.

Jelasnya, gerakan mendaulatkan Bahasa Melayu bersemarak dari utara hingga selatan tanah air.

"Terlalu banyak peranan guru, dari menubuhkan koperasi, politik, kegiatan di kampung dan boleh dikatakan guru menjadi pakar rujuk dalam sebarang hal," tambahnya.

Begitu juga guru ketika zaman Mohd Nor tidak mengenal batas kenegerian dan mereka akan dihantar bertugas ke merata negeri.

Beliau sendiri pernah bertugas di beberapa buah negeri iaitu guru besar sekolah menengah Inggeris Batu Pahat High School dan Sultan Abu Bakar Kuantan di samping pegawai di Jabatan Pendidikan negeri Sabah, Negeri Sembilan dan Pahang sebelum bersara.

GURU BERKUALITI

Jika semasa zaman Jumaat dan Mohd Nor, profesyen guru dianggap 'glamour', mungkin anggapan ini semakin pudar.

Mohd Nor berpendapat sebahagian kecil guru mengejar kebendaan dan politik dan ada yang menjadi guru kerana tiada pilihan dan bersikap setakat makan gaji sahaja.

"Ramai yang buat tuisyen, cari wang lebih dan mengajar di sekolah lebih kurang sahaja. Mungkin kalau nak bagus lagi, budak-budak kena datang ke rumah cikgu ambil tuisyen.

"Di Jepun hanya yang terbaik akan dipilih menjadi guru berbanding di negara kita di mana bidang perguruan hanya menjadi pilihan terakhir bagi sesetengah orang.

"Kerjaya guru sebagai sesuatu yang murni untuk mendidik anak bangsa kini tinggal sebagai satu retorik semata-mata," demikian pandangan Mohd Nor yang banyak menulis sebelum dan setelah bersara.

Setakat ini beliau menulis lebih 10 buku termasuk "Dari Kuala ke Tanjung: Memoir Seorang Guru Melayu" dan "Sejarah Perkembangan Sekolah Sekolah Melayu Negeri Perak (sebelum merdeka)."

Jumaat pula berpendapat guru mempunyai peranan besar dalam melahirkan pelajar yang terbilang bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga cergas berusaha dan mempunyai semangat cintakan tanah air yang tinggi.

Peranan ini tidak mungkin dapat dihasilkan sekiranya guru hanya membataskan tugas mereka setakat mengajar mata pelajaran yang perlu diajar semata-mata.

"Guru mesti cergas, mesti dapat menawan hati pelajar dan mesti dilihat sebagai model contoh untuk pelajar.

"Jika guru mengajar lembap, hendak tak hendak dan ini memang berlaku sekarang dan ini yang dikhuatirkan, sudah tentu akan ada pihak yang melemparkan tuduhan," tambahnya.

Menurut beliau, yang penting sama ada guru itu boleh memberi sedikit sentuhan kepada mata pelajaran dengan menyatakan "perkara ini ada kebaikan dalam masyarakat kita" atau memberikan ulasan yang membangkitkan kesedaran.

"Kalau guru melakukan ini baru budak-budak terpegun dan berfikir guru mereka keluar sedikit daripada kebiasaan mengajar.

"Hal yang serupa patut boleh dilakukan oleh guru bahasa, guru sastera dan guru untuk mata pelajaran seperti sejarah.

"Guru yang baik akan direnungi pelajar di depan dia sebagai seorang yang boleh dicontohi, diteladani dan diikuti. Kalau guru lekeh apa yang hendak diteladani?" kata Jumaat.

PATUT LEBIH BAIK

Guru-guru sekarang sewajarnya lebih baik memandangkan kebanyakan mereka mempunyai 'kelayakan kertas' yang tinggi di peringkat diploma dan ijazah.

Seperti kata Jumaat, sewajarnya juga kualiti pelajaran seiring dengan pendapatan yang lumayan dan kelayakan yang tinggi.

Guru-guru yang klasik, katanya adalah guru yang dekat dengan buku dan ilmu, tambahan sekarang banyak kemudahan dan program untuk belajar termasuk akses Internet.

"Guru mesti menyayangi ilmu dan ini perlu dilakukan sepanjang hayat memandangkan budak-budak sekarang cerdik dan pintar.

"Ini mesti diiringi dengan kesayangan kepada murid dan pelajar. Guru tidak boleh terlalu beku atau pasif dan tidak mempedulikan murid-muridnya.

"Guru juga mesti menjadi mentor yang sebaik-baiknya dan yang utama dia mesti mempunyai passion atau kecintaan yang mendalam terhadap profesyen perguruannya," jelas Jumaat yang dianugerah Tokoh Guru Negeri Johor pada 1976 dan Tokoh Guru Kebangsaan 1977.

-- BERNAMA


BERNAMA: 29 Ogos 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tiada yang jauh bedanya antara peranan guru dahulu dan guru hari ini. Tujuannya sama iaitu mendidik anak bangsa merdeka. Cuma bezanya dahulu ialah rata-rata sekolah dahulu tidak mempunayai kemudahan seperti yang ada sekarang ,tiada akses internet, komputer riba, dan macam-macam lagi tiada.