Isnin, 16 Ogos 2010

ADaP sesuai di sekolah



SEBAHAGIAN peserta ADaP SK Tengku Mahmood Iskandar 1, Pontian, Johor membuat latihan daripada sisipan pendidikan ADaP baru-baru ini.


JOHOR BAHRU - Pengisian Bengkel Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) Utusan Malaysia sesuai sebagai bahan sokongan akademik di sekolah, kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Ulu Tebrau, Zakaria Bahron.

Menurut beliau, dalam masa dua jam, bengkel itu berlangsung dengan padat, sangat membantu dan dapat mengembangkan minda peserta daripada senaskhah akhbar yang selama ini hanya dianggap bacaan santai orang dewasa.

"Menyedari akan hal itu, selama ini pun saya memang menggalakkan guru sekolah menggunakan akhbar, khususnya sisipan ADaP Utusan Malaysia pada setiap Selasa," katanya di sini baru-baru ini.

Katanya, dalam masa yang singkat itu, peserta ADaP - sama ada guru atau pelajar - boleh mengolah kandungan akhbar Utusan Malaysia menjadi bahan pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan berkesan.

Sekolah itu mempunyai seramai 741 murid yang kebanyakannya kini ialah cucu para peneroka dan penduduk berhijrah.

Keputusan peperiksaan ujian pencapaian murid kali ketiga baru-baru ini menunjukkan peratusan pencapaian melebihi sasaran.

Menurut Zakaria, pihak sekolah sentiasa berusaha meningkatkan bidang akademik, serta menarik warga Felda untuk bersama-sama pihak sekolah meningkatkan pencapaian sekolah itu.

SK Felda Ulu Tebrau merupakan salah sebuah sekolah yang dikunjungi Unit Pendidikan Utusan Malaysia dalam siri jelajah Johor Bahru, baru-baru ini.

Sekolah lain yang turut mengikuti ADaP ialah SK Kopok, SK Taman Cendana dan SK Seri Alam 2 di Pasir Gudang dan SK Tengku Mahmood Iskandar 1 di Pontian.

Sebelum ini, program turut diadakan SMK Tengku Aris Bendahara di Kluang dan SK Bukti Soga di Batu Pahat.

Sementara itu, di SK Tengku Mahmood Iskandar 1, di Pulai, guru besarnya, Saniah Mohd Khalid memberitahu, pihaknya menggunakan sisipan ADaP pada setiap minggu - iaitu pada setiap Selasa.

"Saya sendiri menggalakkan guru menggunakan bahan akhbar kerana apa yang disajikan ialah bahan terbaru," katanya.

Seramai 99 calon menduduki UPSR tahun ini. Bilangan murid di situ ialah 598 orang. Pencapaian tertinggi adalah pada 2008 apabila 29 calonnya mendapat 5A.

Semua bengkel dan ceramah ADaP dikendalikan oleh Pengarang Pendidikan, Wahid Hashim.

Sedikit pendedahan tentang kerjaya dan cabaran kewartawanan turut menjadi pengisian di sekolah itu.

Utusan Malaysia Online: 16 Ogos 2010

Tiada ulasan: