Ahad, 15 Ogos 2010

Pendidikan bentuk insan bermoral

Oleh Dr Zakaria kasa

2010/08/15

Pelajar wajar diajar kemampuan berfikir untuk beza tindakan baik atau buruk

KEJADIAN membabitkan murid melakukan jenayah di sekolah dan di luar sekolah sering dipaparkan beritanya di dalam akhbar dan media massa lain. Peristiwa ini boleh dibahaskan daripada pelbagai sudut sama ada berkaitan dengan pendidikan, kemasyarakatan, kekeluargaan dan sebagainya.

Dalam penulisan ini, saya ingin memfokuskan kepada pendidikan. Adakah wajar masalah yang berlaku ini disalahkan kepada sistem pendidikan negara semata-mata? Tidak akan ada manusia yang menyatakan peristiwa yang berlaku itu disebabkan pendidikan semata-mata. Faktor lain yang berkaitan dengan keluarga, masyarakat dan media massa juga boleh kaitkan.

Dari sudut pendidikan, persoalan yang timbul ialah adakah pendidikan mampu membanteras peristiwa ini daripada berlaku? Hendak dinyatakan tidak, tidak tepat dan hendak dikatakan mampu 100 peratus pun tidak tepat.

Pendidikan boleh sedikit sebanyak mengurangkan tindakan tidak bertamadun ini berlaku di kalangan remaja. Pertama, biar kita lihat kepada kurikulum. Adakah kurikulum pendidikan negara – KBSR dan KBSM mampu mendidik pelajar kita menjadi baik dari segi kelakuan dan tingkah laku?

Ada dua mata pelajaran khusus untuk tujuan ini, iaitu Pendidikan Moral diambil pelajar bukan Islam dan Pendidikan Islam untuk pelajar Islam. Adakah Pendidikan Moral mampu melahirkan pelajar bermoral tinggi dengan mempelajari nilai murni dalam mata pelajaran itu?

Adakah pelajar mempelajari mata pelajaran ini untuk menerima nilai murni atau untuk lulus dalam peperiksaan seperti mata pelajaran akademik yang lain. Bagi mata pelajaran Pendidikan Islam, soalannya ialah sejauh mana akhlak Islam diajar atau diterap di kalangan pelajar? Jika ya, adakah masa yang diperuntukkan untuk mata pelajaran ini membolehkan akhlak Islam diterapkan dengan baik dan berkesan? Bagaimanakah caranya guru Pendidikan Islam menerapkan akhlak Islam kepada pelajar?
Jika soalan ini dapat dijawab dengan baik dan berkesan, saya berasa tiada masalah dalam usaha kita melahirkan insan baik yang dikehendaki. Jika jawapan yang diberikan tidak jelas dan penuh dengan alasan, saya berasa kita masih tidak dapat membentuk insan yang kita kehendaki itu. Ini bermakna dalam sistem pendidikan negara kita sudah ada unsur melahirkan insan baik ini. Bukan saja melalui dua mata pelajaran itu, tetapi juga menerusi mata pelajaran Sivik dan Kenegaraan serta beberapa usaha lain seperti penerapan nilai murni merentas kurikulum.

Jika semua ini dilaksanakan dengan baik, mungkin sebahagian masalah berkaitan dengan melahirkan insan baik melalui sekolah atau sistem pendidikan dapat dilaksana. Masalahnya mungkin sekolah sudah biasa dengan memberi tumpuan kepada hal akademik sehinggakan perkara berkaitan dengan hal melahirkan insan baik tidak dapat dilaksanakan.

Mungkin juga usaha menerapkan nilai murni merentas kurikulum yang tidak diambil kira dalam peperiksaan dianggap tidak penting oleh sekolah. Juga ada guru menyalahkan silibus yang perlu dihabiskan dan kekurangan masa untuk memberi tumpuan kepada aspek ini.

Penambahan pengetahuan, iaitu hal kognitif, boleh dilakukan oleh pelajar sendiri menerusi pembacaan dan pelbagai cara lain. Sebaliknya kemahiran memerlukan peralatan dan perkakasan yang tinggi kosnya. Peralatan dan perkakasan ini juga akan luput ditelan masa. Yang kekal dalam diri pelajar dan dikehendaki masyarakat dan majikan ialah insan baik, insan berkelakuan baik dan mempamerkan nilai murni serta mempunyai kemahiran kebolehdapatan kerja atau kemahiran sosial.

Oleh itu, sistem pendidikan tidak seharusnya mengabaikan unsur penting ini dalam kurikulum dan pentaksiran. Walaupun aspek kognitif dan psikomotor tidak kekal lama dan menjadi luput ditelan masa, konsep dan prinsip asas perlu diberikan kepada pelajar supaya mereka boleh menggunakannya dalam mempelajari sesuatu pada tahap lebih tinggi. Pada tahap sekolah rendah, fokus utama pendidikan seharusnya baca, tulis dan kira. Selain itu, penerapan nilai murni serta kemahiran sosial boleh mula diterap pada peringkat persekolahan ini.

Perkara asas ini sangat perlu sebab dengan kebolehan membaca, menulis dan mengira, pelajar dapat menambah ilmu pengetahuan mengikut masa. Tanpa kemahiran asas ini, pelajar gagal menambah ilmu pengetahuan dan terus ketinggalan. Peperiksaan bukan kayu pengukur pada tahap ini, tetapi penguasaan murid dalam menulis, membaca dan mengira adalah aspek penting kepada setiap murid.

Jangan ditambah dengan pelbagai ilmu pengetahuan lain kerana kemungkinan ada pelajar yang tercicir dan gagal menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Fokus guru ialah pemulihan murid bermasalah dalam pembelajaran.

Semua murid pada Tahun Enam, iaitu tahun akhir persekolahan ini boleh membaca, menulis dan mengira. Guru juga perlu membabitkan murid secara aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna saiz kelas perlu kecil.

Jika perlu guru harus mempunyai guru pembantu untuk memastikan murid diberi perhatian khusus sama ada dari segi penguasaan kemahiran asas dan insaniah serta adab. Jika mata pelajaran tertentu hendak diajar, biarlah berpaksi kepada membantu penguasaan kemahiran membaca, menulis dan mengira.

Sebagai contoh mengajar sains melalui baca, tulis dan kira. Jika pelajar dapat menguasai kemahiran ini, masa depannya dalam penguasaan ilmu pengetahuan lain tidak menjadi masalah. Banyak masalah pembelajaran pelajar pada hari ini ialah tidak menguasai sepenuhnya kemahiran membaca, menulis dan mengira. Selain itu mereka tidak tahu teknik belajar dengan berkesan.

Sepatutnya pelajar wajar dibekal dengan kemahiran belajar menggunakan teknik belajar tertentu. Seperti dinyatakan, pengetahuan yang menjadi asas kepada sesuatu disiplin wajar diberikan kepada pelajar untuk membolehkan mereka terus mencari dan mendalami ilmu dalam bidang berkenaan. Pemberian pengetahuan saja tidak memadai dan perlu disertakan dengan penggunaan pengetahuan berkenaan serta boleh membantu dalam berfikir.Kebolehan individu berfikir membolehkan mereka berada pada barisan hadapan.

Memang tidak dapat dinafikan kebolehan berfikirmampumembentuk individu mempunyai tingkah laku baik. Jika hanya pengetahuan untuk hafalan semata-mata tidak membantu berfikir. Pelajar seharusnya diajar berfikir. Dengan kebolehan berfikir mereka dapat mempertimbangkan tindakan yang mereka ambil atau lakukan sama ada baik atau buruk.

Kebolehan berfikir membolehkan mereka menjadi kreatif, inovatif dan menyelesaikan masalah. Atas sebab itu dikatakan individu yang boleh berfikir mampu mempamerkan tingkah laku yang baik seperti dikehendaki masyarakat.

Penulis ialah Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara

Berita Harian Online: 15 Ogos 2010

Tiada ulasan: