Khamis, 12 Ogos 2010

SK Chepor dapat premis baru



IR. ABU Bakar Mohamed Said menyerahkan replika kunci Ainon Mahfud ketika majlis penyerahan bangunan tambahan dan kerja-kerja berkaitan di Ipoh, semalam.


IPOH 11 Ogos - Kedatangan Ramadan tentunya disambut dengan penuh keceriaan oleh warga Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor, dekat sini apabila mereka kini mempunyai bangunan baru bernilai RM5.67 juta.

Bangunan baru itu mula dibina pada 23 April 2009 dan siap 13 Julai lalu, dua bulan lebih awal daripada tempoh yang dijangkakan iaitu 8 September ini.

Menurut Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kinta, Ir. Abu Bakar Mohamed Said, projek tersebut dilaksanakan bagi menggantikan dua blok bangunan lama yang sudah tidak selesa digunakan.

''Projek SK Chepor mempunyai empat blok iaitu blok A dan B setinggi tiga tingkat, blok C (dua tingkat) dan seunit blok D untuk pra-sekolah yang mampu menempatkan lebih 530 murid.

''Mengenai bangunan lama sekolah, sebahagiannya akan diruntuhkan untuk dijadikan padang sementara kerana kawasan padang sekolah telah digunakan untuk membina sekolah baru," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Projek SK Chepor di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Abu Bakar mewakili Pengarah Kerja Raya negeri, Datuk Dr. Safry Kamal Ahmad.

Sementara itu, Guru Besar SK Chepor, Ainon Mahfud berkata, Jabatan Pelajaran negeri sedang berunding dengan sebuah syarikat untuk membeli sebidang tanah di belakang sekolah untuk dijadikan padang.

Utusan Malaysia Online: 12 Ogos 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tahniah kepada warga SK Chepor kerana dapat bangunan baru. Harap-harap kerajaan akan membina lebih banyak lagi bangunan baru bagi menggantikan sekolah-sekolah dan rumah guru yang sudah usang khususnya di Sabah.

Bukan cakap temberang ..di Sabah ada bangunan sekolah dan rumah guru yang dibina sejak awal 60an lagi masih didiami oleh warga sekolah.Bayangkanlah betapa uzurnya sekolah tersebut..