Isnin, 9 Ogos 2010

Bai'ah pengetua perlu post mortem

KITA semua tahu bahawa para pengetua dan guru besar menjalankan tugas mereka dengan bermatian-matian - mahu menjadi lebih kreatif dan inovatif seperti mana yang diminta oleh kerajaan, serta memenuhi harapan ibu bapa supaya anak-anak mereka cemerlang dalam pendidikan.

Sekalung tahniah kepada pengetua dan guru besar kerana sebagai pentadbir dan pengurus, mereka sentiasa berada di barisan hadapan untuk menakhodai bahtera pendidikan yang sentiasa bertukar haluan mengikut badai semasa.

Bagi yang berfikir seperti pengurus, mereka lebih cenderung untuk mendahului zamannya dan yang lain mengikut, tetapi bagi pengetua dan guru besar yang berfikiran seperti pentadbir, mereka hnaya melakukan tugasan sepertimana yang diarahkan.

Di bawah Program Transformasi Kerajaan, Bidang Keberhasilan Pencapaian Utama Negara (NKRA) dan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA), maka telah digariskan dengan jelas peranan guru besar dan pengetua - dalam memastikan pembangunan sekolah, sumber manusia dan pentadbiran serta penyampaian diurus tadbir dengan berkesan dan baik.

Salah satu perkara yang menarik perhatian ialah janji kerajaan untuk memberi ganjaran kewangan dan bukan kewangan kepada guru besar dan pengetua yang mengatasi prestasi tertentu, iaitu skor Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) lebih daripada 90 serta sasaran literasi dan numerasi (LINUS).

Memang guru dan pengetua yang menujukkan prestasi mengagumkan layak menerima ganjaran kerana usaha berganda yang mereka telah lakukan.

Namun begitu, adakah amalan memberi ganjaran kewangan kepada pengetua dan guru besar merupakan kaedah yang terbaik?

Isu ini menjadi ribut dalam cawan sejak kebelakangan ini kerana habuan yang diberi itu menjadi persoalan moral dalam kalangan pengetua sendiri.

Salah satu persoalan yang ditanya ialah sama ada perlu pengetua diberi ganjaran kewangan kerana ia mungkin akan memberi kesan negatif dalam jangka masa yang panjang kepada pengetua dan budaya kerja keseluruhan sekolah secara yang kolektif.

Apa yang dipersoalkan oleh pengetua ini ialah sama ada tugas yang dilakukan ialah tugas hakiki, tambahan atau kerja kolektif. Ramai yang menganggap tugas memajukan sekolah merupakan kerja hakiki yang menjadi fardu dan wajib kepada sesiapa sahaja yang bergelar pengetua atau guru besar sekolah - tanpa mengharap balasan. Memadai diberikan kenaikan gred dan gaji.

Kedua, apa yang dibimbangkan ialah cara pemberian ganjaran. Ada pengetua yang bimbang ganjaran akan tertumpu kepada sekolah yang pencapaian sudah mencecah 90 peratus keputusan akademik sahaja - khususnya sekolah yang sudah sememangnya cemerlang.

Mungkin sekolah yang 'teruk' pencapaian akademiknya, walaupun mengalami kenaikan sehingga 30 peratus masih belum dikira layak menerima ganjaran kerana masih belum setanding dengan guru besar atau pengetua di sekolah yang sudah sedia cemerlang tadi.

Terdapat juga pengetua atau guru yang tersalah anggap konsep ganjaran dan hukuman ini umpama memperkenalkan konsep 'hire and fire'. Hal ini kerana dinyatakan di bawah Pelan dan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan bahawa kira-kira 10 peratus yang berprestasi tercorot akan dikenal pasti berdasarkan kepada skor komposit yang terendah.

Golongan ini akan diberi latihan dan bimbingan dalam usaha untuk mempertingkatkan prestasi. Jika usaha ini tidak efektif, maka tindakan seperti pemindahan dan persaraan pilihan akan diambil.

Perkara ini dilihat menekan kerjaya mereka, khususnya yang berada dalam kawasan 'hitam'.

Di Britain, memberi ganjaran kepada pendidik merupakan amalan yag dilaksanakan sekian lama, dan ditarik semula beberapa tahun yang lalu kerana ada kesan negatif jangka panjang.

Antara kesan negatif tersebut ialah pengetua dan guru besar menganggap ganjaran itu kononnya hak hakiki mereka, bukan satu bentuk sagu hati.

Justeru, apabila sekian lama menunggu dan tidak mendapat 'hak hakiki' itu, mereka mula berasa 'putus asa' dan memberi tanggapan negatif terhadap kerajaan.

Sebelum kita memutuskan untuk meneruskan cadangan ini, eloklah dibuat post mortem dan difikirkan alternatif lain - khususnya apabila guru akan dibenarkan berpolitik.

Tabik cikgu!


Utusan Malaysia Online: 9 Ogos 2010

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kenapa GB dan Pengetua sahaja yang diagung-agung sehingga diberikan ganjaran setinggi itu? Kenapa guru-guru biasa yang sebenarnya bertungkus lumus menjadikan sesuatu perkara itu nyata hanya diberikan ganjaran yang sedikit? Jangan lupa bukan semua GB dan Pengetua yang boleh buat kerja dengan baik. Ramai antara mereka yang hanya tumpang tangan daripada guru-guru biasa...Jadi berilah ganjaran yang seimbang.

Tanpa Nama berkata...

Patut juga PK-PK diberikan ganjarran setimpal kerana di sekolah sebenarnya merekalah jadi tulang belakang dalam setiap aktiviti sekolah.

Tanpa Nama berkata...

saya setuju pemberian ganjaran kepada GB dan Pengetua dikaji semula kerana saya rasa ada ralat disitu dan perlu diubahsuai khususnya dari segi perbezaan jumlah ganjaran antara GB/Pengetua dengan guru-guru lain di sekolah tersebut.

KITA SEKARANG BERCAKAP TENTANG
1MALAYSIA OLEH ITU SEPATUTNYA GANJARAN JUGA BERKONSEPKAN 1MALAYSIA IAITU 1Sekolah.....