Isnin, 23 Ogos 2010

Guru gesa beri semula elaun pindah

2010/08/23

SAYA ada melayari portal sistem perpindahan guru secara online yang dinamakan eg-Tukar. Alangkah terkejut apabila terlihat di laman web itu maklumat yang menyatakan elaun perpindahan tidak dapat dituntut.

Berita ini mendukacitakan warga pendidik terutama yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak. Mengapakah kemudahan yang sangat diperlukan ini ditarik ketika ekonomi negara berada di kedudukan yang baik?

Bayangkan guru yang sudah lama berkhidmat di Sabah dan Sarawak memerlukan kemudahan kargo untuk membawa pulang semua barang. Bukankah kosnya terlalu tinggi? Manalah kami mampu menanggungnya.

Perkara ini sangat merisaukan kami sehinggakan takut untuk mohon berpindah ke Semenanjung. Adakah ini helah Kementerian Pelajaran untuk menghalang kami mohon berpindah?

Harap kerajaan menimbangkan semula pemberian elaun perpindahan seperti dilaksanakan pada tahun sebelum ini sebagai membuktikan komitmen slogan 1Malaysia. Kami juga menunggu berita baik mengenai bonus yang dituntut oleh CUEPACS.

MUALIM,
Daro, Sarawak

Berita Harian Online: 23 Ogos 2010

1 ulasan:

Guru Kecewa berkata...

Saya bersetuju dengan MUALIM. Apakah kerajaan Malaysia kekurangan wang sedangkan dicanangkan melalui media bahawa ekonomi negara mengalami pertumbuhan. Saya tidak mengaharapkan bonus pada tahun ini tetapi amat berharap kerajaan dapat berbuat sesuatu agar elaun perpindahan diberi semula kepada kami yang layak kerana elaun ini bukan dituntut setiap tahun. Mungkin sekali seumur hidup bagi kami yang bertukar wilayah.
Saya amat berduka cita dan merasa teraniaya dengan keputusan Bahagian Kewangan, Kementerian Pelajaran Malaysia ini. Banyak cara lain lagi untuk menjimatkan perbelajaan seperti menukar waran perjalanan Udara daripada MAS kepada AIRASIA. Di sekolah saya telah mengamalkannya pada tahun ini dan saya dapati lebih 50% kos dapat dijimatkan.
Sekali lagi saya memohon agar elaun perpindahan ini diberi semula kepada kami sebagai tanda bahawa kebajikan kami sebagai guru dijaga oleh kerajaan.Ini selaras dengan strategi kerajaan dalam RMK10 iaitu membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia iaitu menjadikan profesion keguruan pilihan utama.Bagaimanakah profesion ini dapat dimartabatkan jika kebajikan kami sering diabaikan?