Ahad, 29 Ogos 2010

Program susu sekolah disambung semula Oktober ini



Muhyiddin Yassin menyampaikan sumbangan kepada seorang warga emas pada majlis berbuka puasa UMNO Zon 6 di Lahat Datu, Sabah, semalam. Turut menyaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman (kiri).


LAHAD DATU 28 Ogos - Program Susu Sekolah (PSS) yang dihentikan dua tahun lalu di Semenanjung dan Sarawak akan disambung semula seawal Oktober ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program yang bakal dikenali sebagai Program Susu 1Malaysia itu akan dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah.

''Pada peringkat awal ia akan dilaksanakan di sekolah-sekolah rendah di kawasan luar bandar dan kriteria penerima akan berdasarkan kaedah yang telah ditetapkan dahulu.

''Maknanya, kalau dahulu dapat, kali ini akan dapat juga," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat pembangunan daerah di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berada di sini bagi menghadiri majlis berbuka puasa bersama pemimpin dan rakyat tempatan di Masjid Ar Rauddah.

Muhyiddin berkata, sebagai pengeluar susu segar terbesar negara, kementerian akan berbincang dengan kerajaan negeri Sabah bagi memastikan masalah yang berlaku dahulu seperti susu basi tidak berulang.

Katanya, ini merangkumi kaedah pengedaran, penyimpanan dan penggunaan oleh murid di sekolah.

''Dahulu ada sekolah menyimpan susu dahulu sebelum digunakan. Ini menyebabkan berlaku masalah susu basi dan sebagainya," katanya.

Beliau menambah, pada masa ini PSS hanya membabitkan pembekal utama dari Sabah dan sama ada ia akan diperluaskan kepada pembekal lain akan ditentukan kemudian.

Sementara itu, ditanya mengenai aduan ibu bapa terhadap pengurusan sebuah sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan yang mewajibkan pelajar perempuan memakai tudung sepanjang Ramadan, Muhyiddin berkata, tindakan tersebut merupakan inisiatif sekolah terbabit dan bukan arahan kementerian.

''Apa pun nasihat saya adalah supaya tidak ada unsur paksaan dalam soal ini kerana ia hak individu. Kita kena bertimbang rasa," katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis berbuka puasa, Muhyiddin menggesa umat Islam meningkatkan perpaduan kerana ia merupakan kunci utama kepada kejayaan sesebuah ummah.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan kerajaan bersedia membina sebuah sekolah menengah agama di daerah ini di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Utusan Malaysia Online: 29 Ogos 2010

Tiada ulasan: