PUTRAJAYA 4 Ogos - Kementerian Pelajaran sedia mengkaji cadangan untuk menjadikan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) sebagai mata pelajaran teras.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi tujuan itu, sebuah jawatankuasa teknikal akan diwujudkan dengan turut dianggotai wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pihak berkemahiran sebagai perunding akan diwujudkan.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa teknikal itu akan memberi panduan pelaksanaan PKRS di sekolah-sekolah.
"Sama ada PKRS ini terus kekal dalam bentuk kokurikulum atau ia diterapkan dalam silibus akademik sedia ada iaitu mata pelajaran Sains atau Biologi, kita akan kaji dulu secara terperinci.
"Kita tidak boleh buat keputusan serta-merta kerana perlu mengambil kira soal latar belakang agama dan kefahaman yang berbeza termasuk cara bagaimana hendak diolahkan program serta isi kandungan pembelajaran itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima peruntukan RM50 juta untuk kementeriannya daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Peruntukan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu bertujuan meningkatkan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah dengan pelaksanaan inisiatif pembaikan sejumlah 610 sekolah daif berasrama kawasan luar bandar di bawah seliaan Kementerian Pelajaran.
Muhyiddin berkata, bagi melaksanakan PKRS, pihaknya perlu mengambil kira aspek pindaan dalam buku teks serta keperluan tenaga pengajar supaya lebih efektif.
"Kita perlu latih guru yang nak bimbing pelajar ini, kalau dia tahu sains tapi soal biologi tak tahu susah juga, jadi kena ada satu bentuk latihan tertentu supaya lebih efektif sebelum keputusan dibuat," katanya.
Sementara itu, Shahrizat berkata, saranan melaksanakan PKRS itu dibuat bagi mengelakkan pelajar menjadikan Internet sebagai bahan rujukan pendidikan seks dengan melayari laman web pornografi.
"Sudah tiba masanya untuk kita masukkan PKRS dalam subjek teras kerana sebelum ini ia diletakkan di bawah kokurikulum.
"Subjek ini sangat penting berdasarkan apa yang sedang berlaku dalam iklim sosial hari ini di mana peningkatan kes gadis mengandung luar nikah, buang bayi dan banyak lagi gejala sosial lain," katanya.
Menurut Shahrizat, ketika ini projek perintis modul 1'm in Control PKRS dijalankan di lima sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Pahang sejak lima tahun lalu.
"Pasca ujian projek ini mendapati terdapat peningkatan signifikan dalam pengetahuan dan sikap para pelajar yang terlibat dalam program ini," katanya.
Daripada 610 sekolah daif berasrama, 119 dikenal pasti di Semenanjung.
Ia meliputi 50 sekolah rendah dan 149 sekolah menengah dengan jumlah pembiayaan keseluruhan berjumlah RM10 juta.
Bagi Sarawak pula, ia membabitkan 187 sekolah rendah dan 74 sekolah menengah dengan pembiayaan keseluruhan berjumlah RM20 juta.
Pada masa sama, di Sabah, 150 sekolah yang akan dibaiki merangkumi 50 sekolah rendah dan 100 sekolah menengah dengan pembiayaan RM20 juta.
Peruntukan pembiayaan ini akan diteruskan sehingga tahun 2012.
Sementara itu, ditanya mengenai cadangan pemansuhan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Muhyiddin berkata, keputusan mengenainya akan dibuat beberapa minggu lagi selepas persidangan meja bulat membincangkan perkara itu selesai.Utusan Malaysia Online: 5 Ogos 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan