Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kementerian sentiasa memandang serius kes begitu dan mahu pengurusan sekolah serta Jabatan Pelajaran Negeri membuat laporan menyeluruh sebelum tindakan tegas dapat diambil.
“Jika pelajar memukul guru memang kami kelaskan ia kes berat dan takkan berkompromi, namun dalam kes ini saya belum lagi menerima laporan lengkap. Tetapi mengikut amalan, jika ia sudah dilaporkan kepada polis, maka kami perlu menunggu sehingga siasatan selesai.
“Sebaik selesai, barulah keputusan dibuat, namun yang pasti jika terbukti mana-mana pihak bersalah maka tindakan tegas menunggu mereka. “Apapun, saya merasa dukacita dengan kejadian begini kerana ia tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini yang mana kami dapati disiplin pelajar dalam keadaan terkawal,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian seorang guru lelaki di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Segamat Batu Anam, Segamat, Johor cedera di kepala dan menerima satu jahitan kerana cuba meleraikan pergaduhan dua kumpulan pelajarnya, Selasa lalu.
Difahamkan dalam kejadian jam 11 pagi itu, kebanyakan guru dan pelajar sedang menyertai kejohanan sukan di padang sekolah, sebelum guru Sains berusia 27 tahun itu melihat dua kumpulan membabitkan 10 pelajar bergaduh di tepi padang.
Berikutan itu, dia dikatakan bertindak menjadi orang tengah dan cuba meleraikan perbalahan berkenaan sebelum tiba-tiba seorang pelajarnya meluru sambil cuba memukul pelajar lain dengan penyapu, namun malangnya terkena kepala guru berkenaan.
Dr Mohd Puad berkata, tahap masalah disiplin pelajar di semua sekolah semakin menurun sekali gus menyaksikan satu perkembangan baik.
“Konsep ini penting selain bentuk hukuman kepada kesalahan dilakukan. Dan ini yang kami cuba wujudkan supaya murid dan pelajar tak merasa takut dengan guru bahkan mereka berasa seperti keluarga dan suasana cukup harmoni di sekolah,” katanya.
Jelasnya lagi, kes buli, gengsterism, merokok dan berambut panjang di sekolah juga tidak meruncing kerana masalah disiplin paling tinggi adalah daripada kategori ponteng sekolah, malah ia juga berpunca daripada banyak faktor termasuklah ketiadaan pengangkutan di sekolah pedalaman.
myMetro: 13 Julai 2012
1 ulasan:
Dulu guru murid pelajar yang buat kesalahan tiada pun ibubapa yang bertindakbalas terhadap guru apa lagi murid kerana dulu guru ada autonomi mendenda murid yang bersalah. Itu sebab murid takut dan segan dengan pentadbiran sekolah. Kesan daripada peraturan sekolah yang terdahulu ialah semua pelajar tak kira besar, tinggi, kecil semuanya patuh kepada peraturan sekolah, sangat menghormati guru dan menurut undang-undang dan peraturan sekolah. Dalam masa yang sama pelajar tetap juga percaya dan menghormati golongan guru. Malah berterima kasih kerana dengan dendaan rotan itulah ramai murid yang berjaya menjadi seorang manusia yang berjaya.
tetapi dengan peraturan yang ditetapkan hari ini hasil saranan orang-orang tertentu termasuk ahli politik, pensyarah universiti dan NGO-NGO tertentu telah menjadikan guru seperti buta mata, tangan kudung, mulut berjahit. Apa pun tindakan guru semuanya salah tak boleh itu tak boleh ini akhirnya pelajar naik kepala, mengatasi guru dari segi undang-undang dan peraturan sekolah. Macam mana guru boleh mendidik murid kalau memandang muka pelajar pun tidak boleh, menyentuh sedikit sahaja murid pun salah , boleh didenda dan kemungkinan hilang pekerjaan..
inilah salah satu penyumbang kenapa masalah disiplin pelajar tidak boleh ditingkatkan, ada campurtangan dari orang luar dan yang paling menyentuh perasaan ialah undang-undang telah menghadkan tindakan guru seolah-olah guru-guru di malaysia ini sentiasa melampaui batas dalam mengambil tindakan kepada pelajar...
Hari ini jangan salahkan guru sahaja kerana peraturan yang telah ditetapkan oleh kementerian pelajaran malaysia telah menjadikan guru tersebut seperti badan bernyawa tangan terikat ...
sekian
Catat Ulasan