"BAGI saya boleh … 'anytime' cikgu boleh merotan atas
kesalahan yang difikirkan perlu, syarat merotan di bawah paras lutut dan
kemudian harus dirotan di hadapan murid lain." Demikian pandangan
seorang pembaca dalam ruangan 'facebook.com/utusan_online' yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini.
Kini cadangan guru dibenarkan merotan pelajar yang melanggar disiplin
sekolah telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan media sosial.
Walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong
kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah
laku pelajar.
Menurut mereka jika masalah disiplin tidak ditangani dengan betul
ketika pelajar berada di bangku sekolah dikhuatiri boleh menimbulkan
masalah lebih besar apabila mereka meninggalkan sekolah nanti.
Sesungguhnya amat merisaukan apabila melihat angka statistik dan
pemaparan melalui media massa gejala sosial di kalangan remaja. Misalnya
isu 'mat rempit,' apa yang mereka lakukan bukan sahaja membahayakan
diri sendiri tetapi turut menjejaskan keselamatan orang lain. Lebih
membimbangkan mereka sudah berani mencabar pihak berkuasa dan merempit
di tempat yang terbuka. Ada ketikanya orang awam turut dikasari hanya
kerana cuba menasihati perbuatan yang tidak berfaedah itu.
Ini belum lagi dikira jumlah penagih dadah yang kian bertambah. Kesan
daripada penagihan dadah boleh menimbulkan gejala sosial lain seperti
berlaku kes jenayah, penyakit HIV dan kemerosotan nilai diri sebagai
seorang insan.
Penagihan bukan sahaja menjadikan diri mereka tidak terurus tetapi
sanggup pula mencederakan orang lain malah ibu bapa sendiri sekiranya
apa yang dikehendaki tidak ditunaikan terutama keinginan mendapatkan
wang.
Jenayah lain seperti pecah rumah, curi motosikal, meragut, bergaduh
dan gengsterisme kerap dilaporkan dalam akhbar. Perbuatan ini bukan
sahaja berlaku di bandar besar tetapi turut berlaku di kampung dan
kawasan pedalaman. Tidak dinafikan gejala itu mungkin mula bertunas
ketika mereka berada di bangku sekolah.
Sering kita mendengar isu ponteng, membuli, mencuri, vandalisme dan
bergaduh berlaku di kalangan pelajar. Sekiranya tidak dicegah daripada
awal ia boleh memudaratkan apabila mereka terus melakukannya selepas
meninggalkan bangku sekolah nanti.
Bagi mencegah dan mendidik pelajar yang melanggar disiplin ada yang mencadangkan dikembalikan semula hukuman rotan atau corporal punishment.
Tambah mereka semua guru seharusnya dibenarkan merotan pelajar. Bagi
mereka hukuman itu tidak akan menimbulkan tentangan jika dilakukan
dengan betul. Buat masa ini hanya pengetua atau guru yang diberikan
kuasa boleh merotan pelajar dengan syarat dilakukan di tempat tertutup,
direkodkan dan ibu bapa dimaklumkan akan hukuman itu.
Namun demikian ada yang mempertikaikan pendapat tersebut
mempersoalkan mengapa peraturan lapuk itu ingin dihidupkan semula.
Menurut mereka keadaan dan zaman telah banyak berubah. Hukuman rotan
boleh menimbulkan banyak mudarat dibandingkan dengan kebaikan.
Dari sudut psikologi emosi pelajar yang dirotan boleh terganggu, malu
kepada rakan dan merasa rendah diri terutama apabila bersua dengan guru
yang merotan mereka. Lebih bahaya boleh menimbulkan perasaan dendam
terhadap guru dan sekolah.
Kerap kita mendengar kereta guru dirosakkan, perbuatan vandalisme dan
perasaan benci kepada sekolah. Walaupun tujuannya murni iaitu untuk
mendisiplinkan pelajar tetapi boleh memberi kesan sebaliknya. Lebih
parah mungkin boleh berlaku kejadian mencederakan guru dan merosakkan
harta benda sekolah.
Sesungguhnya untuk menangani salah laku pelajar Kementerian Pelajaran
telah mengeluarkan garis panduan melalui Peraturan- Peraturan Pelajaran
(Disiplin Sekolah) 1959, iaitu Perkara 8.3.1. (b) di mana guru boleh
merotan pelajar lelaki sahaja dihadkan di tapak tangan atau di punggung
dengan arahan Guru Besar tanpa mendatangkan kecederaan.
Hukuman rotan semata-mata bertujuan mendidik dan dilakukan di tempat
tertutup. Dijelaskan juga kebenaran merotan ini bermakna hukuman deraan
lain seperti menampar, mencubit, menumbuk, mengetuk atau tindakan lain
yang seumpamanya adalah dilarang sama sekali.
Berbeza di negara maju di mana terdapat peraturan yang dinamakan student rights
atau 'hak asasi pelajar' di mana mereka diberi perlindungan ketika
berada di sekolah termasuk tidak boleh dikenakan sebarang deraan
fizikal.
Ini bermakna pelajar tidak boleh dirotan dan menjadi suatu kesalahan
sekiranya dilakukan oleh guru atau pentadbir sekolah. Mereka ada kaedah
tertentu bagi menangani pelajar yang bermasalah seperti melalui sesi
kaunseling atau merujuk terus kepada ibu bapa pelajar tersebut.
Sesungguhnya dalam sistem pendidikan kita kaedah merujuk pelajar
kepada kaunselor telah lama dipraktikkan. Setiap sekolah mempunyai
kaunselor yang terlatih. Melalui Surat Pekeliling Iktisas Bil. 1/1985
Penubuhan Jawatan Kuasa Bimbingan Pelajar Sekolah bertujuan memberi
peluang kepada pelajar yang bermasalah termasuk melanggar disiplin
mendapat perkhidmatan kaunseling. Melalui perbincangan dan bimbingan
secara profesional dijangkakan pelajar itu akan sedar kesalahan yang
dilakukan dan tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut.
Hakikatnya guru perlu berhati-hati ketika merotan pelajar kerana jika
mendatangkan kecederaan serius mereka boleh didakwa di mahkamah
sekiranya ibu bapa membuat aduan polis.
Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak
2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara
maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Walaupun niat merotan itu murni iaitu untuk mendidik pelajar tetapi
boleh mendatangkan mudarat dan menjadi mimpi ngeri kepada guru jika
dilakukan secara berlebihan.
Justeru semua guru adalah guru disiplin. Ini bermakna semua guru
bertanggungjawab dan berperanan membimbing, menasihati dan menunjuk ajar
pelajar. Ibu bapa dan komuniti pula perlu terlibat dalam menangani
permasalahan tersebut.
Keprihatinan semua pihak terhadap salah laku pelajar hari ini akan
berupaya mengurangkan jumlah gejala sosial di kalangan remaja di masa
akan datang.
Utusan Malaysia Online: 25 Julai 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
5 ulasan:
Saya berjaya sebagai seorang manusia hari ini kerana " ROTAN" oleh seorang guru yang sangat saya hormati. Penangan rotan memang sakit, tiada yang mengatakan rotan itu sedap..semuanya sakit. Itu sebab masa di sekolah tahun 60an, 70an dan 80an serta awal 90an bila guru pegang rotan perut kecut dan tidak berani melakukan kesilapan lagi. Sekolah dahulu aman damai, jarang2 kita dengar kes membuli, baju keluar, rambut panjang, buli pelajar junior apa lagi pelajar junior mengertak pelajar senior.
Tapi hari ini setelah semua kebenaran di tarik balik, banyak kekangan guru atau sekolah membentuk disiplin murid..maka pada hari ini kita sering dipaparkan dengan pelajar bergaduh, pelajar terlibat dadah, pelajarr merokok dalam sekolah malah dalam bilik kelas, pelajar mabuk, pelajar tidak membuat kerja sekolah, pelajar membelasah guru, pelajar mengeluarkan baji dalam kawasan sekolah, pelajar mengubah suai baju dan seluar alah-alah Korea, pelajar membentuk rambut seperti Hip Hop Korea, pelajar mencuri di bilik guru, pelajar mengejek guru, pelajar menculik pelajar lain, membuli , membentuk ganster di sekolah, pelajar merosakkan harta benda sekolah, pelajar tidak mau belajar , ponteng yang terlampau, pelajarr yang buta 4M( membaca, mengira, menulis,mentelaah) dan lain-lain lagi.
semua masaalah di atas hanya timbul apabila kuasa guru dikurangkan hingga memandang murid pun tidak boleh, menyentuh murid pun tidak boleh apa lagi mendendah dengan rotan...
Ramai ibubapa yang khuatir jika guru diberikan kuasa mutlak seperti sebelum ini akan menyebabkan pelajaran anak-anak tergendala,ibubapa bimbang jika murid di rotan mereka tidak akan datang lagi ke sekolah atau ibubapa bimbang kalau-kalau guru mengikut rasa apabila menghukum pelajar. Tapi, pernahkah ibubapa terfikir susatu masa dahulu semua guru zaman itu mempunyai kausa mendendah pelajar dan sebab kuasa yang ada pada guru tersebutlah maka ramai yang menjadi pemimpin yang baik termasuklah ibubapa yang kuat menentang hukuman rotan ini kepada pelajar...
marilah kita bersatu ..tiada jalan yang terbaik selain daripada memberikan disiplin yang tinggi kepada anak-anak...
Antara kemerosotan disiplin pelajar hari ini ialah mereka hilang rasa segan, hormat denga ncikgu apa lagi takut dengan cikgu. Bukan semua tapi salah satu penyumbang masalah disipiln di sekolah ialah kerana guru tidak boleh mengawal pelajar dengan cara yang lebih keras kerana kekangan had kuasa misalnya guru tidak boleh merotan pelajar tanpa kuasa pengetua. Bayangkan sekolah yang mempunayai bilangan murid yang sramai 1000 ke atas bagaimana seorang pengtua atau seorang guru didiplin mengawal murid khususnya lelaki.
jadi, eloklah kuasa merotan murid dikembalikan semula kepada guru kerana semua guru di sekolah adalah guru disiplin. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua guru mempastikan disiplin murid ditahap yang tinggi....
Saya sangat bersetuju supaya kuasa merotan di kembalikan kepada guru di sekolah
kepada pihak-pihak tertentu yang mungkin tidak bersetuju dengan pendapat ini sila pindahkan anak anda di sekolah yang tiada sistem hukuman merotan atau ajarlah anak sendiri di rumah kerana masa ini tidak lagi sesuai memberikan didikan yang terlalu bertolak ansur.
terbukti sudah banyak kejadian yang sangat dasyat hingga guru pun di belasah murid sekolah menengah. kejadian ini tidak boleh dimaafkan.
Bagaiman seorang guru dapat memberikan pendidikan dengan sempurna jika setiap hari dibayangi dengan ketakutan. kekuatiran, kebimbangan dan ragu-ragu kerana murid lebih berkuasa dariapda guru
SAYA SANGAT BERSETUJU...
Assalamualaikum
Saya sangat bersetuju hukuman rotan mengikut garis panduan seperti dinyatakan di dalam Peraturan- Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.
Namun, apabila hukuman rotan itu sudah tidak berlandaskan garis panduan yang dinyatakan, saya percaya ia akan menjadi punca masalah yang besar. Perkara ini akan menjejaskan semua pihak, bukan sahaja kepada pelajar, bahkan ibubapa dan guru.
Salah satu contoh hukuman rotan yang tidak relevan ialah apabila murid datang lewat ke sekolah, hukuman rotan dikenakan. Tidak hanya pada pelajar lelaki, malahan pelajar perempuan juga dikenakan hukuman yang sama. Tindakan seperti ini boleh disifatkan sebagai contoh pengajaran yang tidak baik dan tidak produktif.
sekolah di ulu bachok spt di jelawat pun rotan budak tak ke sekolah.
hukuman rimba.
Catat Ulasan