Selasa, 17 November 2009

SMK Cochrane Perkasa rai pelajar pendidikan khas

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Cochrane Perkasa, Kuala Lumpur menganjurkan Program Erat Mesra Pendidikan Khas Pembelajaran 2009 bagi meraikan pelajar pendidikan khasnya.

Pengetuanya, Siti Zarinah Che Omar, berkata pendedahan pelajar terbabit dalam program seumpamanya penting supaya mereka dapat bergaul dan meningkatkan keyakinan untuk berdikari pada masa akan datang.

“Program ini bertujuan merapatkan hubungan silaturahim antara pelajar, guru, pentadbir sekolah dan ibu bapa, selain berkongsi maklumat mengenai perkembangan pelajaran pelajar pendidikan khas sekolah ini.

“Selain memberi penekanan akademik dan kokurikulum, sekolah ini juga sangat mementingkan penganjuran program bermanfaat yang diyakini mampu membantu pelajar pendidikan khas meningkatkan kecemerlangan.

“Contohnya, hari ini pelbagai aktiviti dijalankan membabitkan kerjasama pelbagai pihak, antaranya ceramah, sesi soal jawab dengan ibu bapa, persembahan pelajar, sukaneka,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah kepada pelajar pendidikan khas sekolah itu, baru-baru ini.

Hadir sama, Penyelia Pendidikan Khas, Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Zaleha Harun dan Pengerusi Badan Kebajikan Pendidikan Khas SMK Cochrane Perkasa, Datin Ainiah Ramli.

Sementara itu, Zaleha berkata, penganjuran program itu perlu diteruskan pada masa depan kerana selain memupuk semangat berpasukan, ia dapat mencungkil bakat pelajar.

Mengulas mengenai masalah kekurangan tempat pelajar pendidikan khas di ibu kota, beliau berkata, tiga sekolah akan membuat program integrasi pendidikan mulai sesi persekolahan tahun depan.

Sekolah terbabit ialah SMK Seksyen 5, SMK Danau Kota dan Sekolah Kebangsaan Sri Permaisuri.

Mengenai elaun pula, katanya, pelajar hanya akan layak menerimanya sekiranya berdaftar sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) di Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Berita Harian Online: 17 November 2009

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kami memang berbangga,tapi ada sesetengah guru pendidikan khas macam tk berapa endah nak menjaga budak2 ni..kami lihat ppm mereka yang lebih prihatin dalam tugas mereka..apa dh jadi dengan guru sekarang ni?minta pengetua ambil perhatian!

Tanpa Nama berkata...

the best!