Sabtu, 3 April 2010

PIBG SMK Rahman Putra laksana pelbagai program atasi ponteng

2010/04/03

TERIMA kasih kepada pengadu iaitu Penduduk BRP, Sg Buloh yang mengutarakan masalah ponteng seperti disiarkan ruangan ini 25 Mac lalu. Saya terpanggil untuk menjelaskan kepada pengadu dan semua penduduk Bukit Rahman Putra khasnya bahawa pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Bukit Rahman Putra (SMK BRP) amat memandang serius dalam menangani gejala ponteng kelas dan sekolah.

Banyak program termasuk lawatan ke rumah pelajar yang tidak hadir sekolah diadakan bagi mengenal pasti punca atau sebab mereka ponteng dilaksanakan. Pihak PIBG juga dalam proses menyiapkan kertas kerja bagi melancarkan kempen sifar ponteng menjelang 2011.

Di antara pengisiannya adalah seperti menghantar pelajar bermasalah dalam sahsiah diri dan disiplin ke pusat motivasi bagi tujuan memulihkan mereka. Ini sudahpun diluluskan sebulat suara dalam mesyuarat agung PIBG Februari lalu.

Rondaan dan pemantauan yang lebih kerap daripada pihak polis bersama PIBG akan ditingkatkan dari semasa ke semasa dan ibu bapa diminta untuk memberi kerjasama.

Selain itu, pihak PIBG juga akan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) secara bersepadu di bawah Majlis Persepakatan PIBG yang ditubuhkan pada 8 Ogos 2009 bagi menggerakkan kempen sifar ponteng ini.

Pihak polis, Rela, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), persatuan penduduk, ketua-ketua kampung, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Gombak dan pengawal keselamatan yang hadir pada majlis itu, berjanji akan bersatu berganding bahu dan bekerjasama untuk menangani masalah ini.

Seterusnya, pihak sekolah dan PIBG sudah membuat permohonan kepada pihak berwajib bagi membina tembok setinggi tujuh kaki bertujuan mengelak pelajar keluar dan masuk ke sekolah melalui pagar yang sekarang ini berlubang dan tidak selamat. Pihak PIBG sedang giat mencari dana antaranya, merancang satu majlis makan malam bagi tujuan itu.
Pihak PIBG juga akan memohon sebahagian tanah rekreasi MPS bersebelahan dengan sekolah bagi tujuan membina jalan masuk utama ke sekolah ini kerana jalan sedia ada adalah melalui jalan utama ke perumahan sekitar dan kami faham ia banyak memberi masalah kepada penduduk BRP.

Dengan terbinanya jalan ini nanti akan dapat mengelak pelajar berkeliaran serta melepak di kawasan perumahan khususnya di taman permainan kanak-kanak perumahan BRP. Persatuan penduduk sekitar diminta menyokong dan perlu menandatangani bersama surat permohonan itu kepada pihak MPS demi keselesaan dan keselamatan semua pihak.

Kami amat berharap agar pengadu ini dapat hadir ke sekolah, berbincang dengan kami bagi menangani masalah ponteng ini secara bersama, berhemah dan profesional.

BUKHARI RAMLI,
YDP PIBG SMK Bukit Rahman Putra, Sg Buloh, Selangor


Berita Harian Online: 3 April 2010

Tiada ulasan: