IPOH 23 Mac - Seramai 53 guru Bahasa Melayu menyertai Konvensyen Guru-Guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Teknik (SMT) Perak anjuran SMT Lebuh Cator yang julung kalinya diadakan di sini hari ini.
Program bermula dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang itu dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahasa, Bahagian Akademik Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perak, Saidi Ngah Abdul Said.
Pengetua SMT Lebuh Cator, Mokhtar Zakaria berkata, matlamat penganjuran konvensyen adalah untuk meningkatkan pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu di SMT dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, para peserta yang terlibat akan menetapkan sasaran pencapaian Bahasa Melayu dalam peperiksaan itu pada tahun ini.
''Pada masa ini, semua SMT di negeri ini mencatatkan kelulusan 100 peratus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.
''Namun, kita tidak lagi melihat kepada kelulusan semata-mata tetapi mahu meningkatkan bilangan pelajar yang mencatat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mokhtar, menerusi program itu, para peserta diberikan pendedahan mengenai teknik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang lebih berkesan.
''Kita telah jemput tiga guru cemerlang iaitu Khairuddin Ayip dari SMT Shah Alam, Zaiton Zahari dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist (ACS) Kampar dan Noraini Hasbullah dari SMK Seri Perak, Teluk Intan untuk memberikan ceramah.
''Di samping itu, para peserta juga boleh berkongsi pengalaman mengajar Bahasa Melayu di sekolah masing-masing dalam konvensyen ini untuk mencari kaedah pengajaran terbaik," katanya.
Sementara itu, seorang guru, Latifah Abdul Mutalib, 40, dari SMT Lebuh Cator, menyifatkan konvensyen tersebut sangat baik untuk memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.
''Dalam konvensyen ini, penceramah menjelaskan kaedah pengajaran berkesan terutamanya teknik mengarang untuk membantu pelajar mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
''Kita juga diberikan motivasi untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar," ujarnya.
Noorfaizah Abdul Jabar, 30, dari SMT Slim River pula berkata, program itu memberikan pendedahan mengenai teknik pengajaran yang lebih baik kepada guru-guru Bahasa Melayu.
Utusan Malaysia Online: 24 Mac 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan