Jumaat, 5 Mac 2010

Polis Jasin masuk sekolah

Oleh NAS NORZIELA NASBAH
utusanmelaka@utusan.com.my

JASIN 4 Mac - Polis akan bekerjasama dengan pihak sekolah dalam usaha mengurangkan kadar jenayah di kalangan pelajar sekolah menengah di daerah tersebut.

Ketua Polis daerah, Deputi Supritendan Che Suza Che Hitam berkata, usaha itu mampu direalisasikan menerusi perhimpunan pagi polis bersama pihak pengurusan sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jasin.

Menurutnya, perhimpunan itu dapat memberi ruang kepada polis memberi kesedaran kepada para pelajar bagi memastikan jenayah yang melibatkan golongan tersebut dapat dibendung walaupun ketika ini ia tidak membimbangkan.

Beliau berkata, polis sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada sekolah-sekolah untuk menganjurkan sebarang program dalam usaha mewujudkan kesedaran tentang jenayah.

"Melalui program perhimpunan pagi polis bersama pihak pengurusan sekolah, banyak maklumat dapat diberikan kepada para pelajar mengenai bahaya terlibat dalam kegiatan tersebut.

"Program seperti ini amat baik dalam membantu pihak polis untuk membanteras jenayah terutama membabitkan juvenil walaupun penglibatan golongan seperti ini masih terkawal.

"Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rambai merupakan lokasi pertama diadakan perhimpunan pagi di samping ceramah diberikan kepada para pelajar mengenai jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Perhimpunan Pagi Polis Bersama PPD Jasin di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Kamal Pasha Jamal.

Seramai 1,500 pelajar sekolah tersebut menyertai program tersebut yang pertama kali diadakan.

Mengulas lanjut, Che Suza berkata, walaupun kes jenayah melibatkan pelajar sekolah menengah di daerah itu adalah terpencil tetapi usaha perlu ditingkatkan untuk memberi kesedaran kepada mereka.

Lebih penting, kata beliau, perhimpunan itu juga akan digunakan untuk memberi kesedaran kepada para pelajar mengenai gejala ponteng sekolah.

"Apabila kerap ponteng sekolah, secara tidak langsung pelajar terdedah kepada penglibatan jenayah yang boleh menghancurkan masa depan mereka," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, lebih banyak pihak sekolah dapat melibatkan diri dalam program yang dianjurkan itu.

Utusan Malaysia Online: 5 Mac 2010

Tiada ulasan: