Ahad, 7 Mac 2010

Prestasi sekolah meningkat, guru turut dapat imbuhan

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Shamsul Kamal Amarudin
bminggu@bharian.com.my

Insentif wang, kenaikan pangkat iktiraf tenaga pengajar: Muhyiddin

SLIM RIVER: Jika selama ini hanya pentadbir sekolah, iaitu pengetua dan guru besar diberi insentif, termasuk kenaikan pangkat kerana meningkatkan prestasi sekolah, mulai tahun depan guru turut diberi penghargaan sama.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pemberian insentif yang dilaksanakan melalui Pelan Menambahbaik Sekolah-Sekolah itu terangkum dalam baiah baru akan turut meliputi guru kerana mereka turut menyumbang kepada prestasi dan pencapaian sekolah masing-masing, sama ada di bandar atau luar bandar.

Katanya, beliau akan mengumumkan secara terperinci bentuk insentif berkenaan pada sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini yang disifatkannya imbuhan yang 'amat baik'.

"Dalam satu sekolah, pemimpin itu adalah pengetua atau guru besar, tetapi bila sekolah itu meningkat, kita bukan saja beri (insentif) kepada pengetua saja, tetapi kepada semua.

"Guru pun dapat kerana kita mengiktiraf peranan itu bukan dimainkan seorang pemimpin dalam sekolah (saja), tetapi semua guru bekerjasama dan jika mereka (pengetua dan guru besar) dapat kredit, mereka (guru) juga dapat insentif dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan, termasuk kenaikan pangkat," katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kementerian akan mula menilai prestasi 10,000 sekolah tahun ini bagi tujuan itu.

"Prestasi yang mereka tunjukkan tahun ini akan kita ukur dan jika kedudukan mereka (sekolah) meningkat berbanding tahun sebelumnya, peningkatan itu kita ambil kira dalam memberi imbuhan," katanya pada sidang media selepas melancarkan program Juara Rakyat peringkat Negeri Perak dan kempen Jom Sokong BN (Barisan Nasional) di Tasek YDP Slim River, dekat sini, semalam.

Hadir sama isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta barisan pemimpin BN pusat dan negeri.

Timbalan Perdana Menteri diminta mengulas mengenai pemberian insentif itu yang disebut dalam ucapan pada majlis pertemuannya dengan warga pendidik Daerah Batang Padang di Politeknik Sultan Azlan Shah (Polisas) di Behrang, sebelum itu, iaitu majlis pertama dihadirinya sempena lawatan sehari ke Perak.

Mengulas lanjut baiah baru dan insentif itu, Muhyiddin berkata, ia bertujuan memberi pengiktirafan kepada pengetua dan guru besar yang menunjukkan kepemimpinan cemerlang seperti mampu meningkatkan prestasi, walaupun dengan peruntukan kecil diperoleh.

Mengenai insentif kepada pihak swasta yang membuka kelas prasekolah, beliau berkata, beliau akan mengumumkan butiran pemberian imbuhan itu minggu depan.

"Kita akan beri imbuhan dalam bentuk geran pelancaran, tetapi ini bukan bagi membayar kos untuk bina sekolah prasekolah, tetapi token yang bukan kecil bagi mereka (pihak swasta) memulakan kelas prasekolah," katanya.

Muhyiddin berkata, usaha itu bagi membantu mencapai sasaran 87 peratus kanak-kanak yang memasuki alam persekolahan formal sudah mengikuti proses pendidikan prasekolah dalam tempoh tiga tahun akan datang, berbanding tahap 67 peratus ketika ini, yang disifatkannya satu cabaran besar bagi kementerian untuk dicapai.

Dalam ucapannya sebelum itu, Muhyiddin berkata, kementerian berharap semua guru gigih bagi mencemerlangkan pendidikan negara ke tahap global dan bukan sekadar 'jaguh kampung'.

Beliau berkata, guru perlu memberi kerjasama membantu kementerian mencapai matlamat holistik digariskan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam bidang pendidikan serta melahirkan insan kamil dan modal insan berkualiti.

Berita Harian Online: 7 Mac 2010

Tiada ulasan: