MALAYAN Teacher's College Kirby di Liverpool, England yang lebih ringkas dipanggil Maktab Kirby telah ditutup 48 tahun yang lalu. Namun, sehingga hari ini maktab itu sentiasa dikenang dalam sejarah perkembangan pendidikan negara. Apa istimewanya maktab itu?
Ia adalah sebuah institusi pertama khas ditubuhkan di luar negara bagi melahirkan guru-guru di Tanah Melayu.
Kelahiran maktab itu juga merupakan satu eksperimen pendidikan yang unik di mana sebuah negara asing dibenarkan menubuhkan maktab latihan guru di England pada 1951.
Mengikut kontrak perjanjian antara Tanah Melayu dan England, Maktab Kirby beroperasi selama 10 tahun, dari 1952 hingga 1962.
Kontrak itu juga telah menetapkan jumlah pengambilan guru pelatih sebanyak 150 orang setahun dan sepanjang tempoh itu, ia berjaya melahirkan 1,500 pelatih dengan 405 daripada mereka mendapat bantuan pakar dari Universiti Liverpool.
Presiden Alumni Maktab Kirby Malaysia, Tan Sri Dr. Yahaya Ibrahim berkata, jasa maktab itu amat besar dalam sejarah perkembangan dan kemajuan pendidikan negara.
Menurutnya, dengan berbekalkan tenaga pensyarah berpengalaman, kurikulum dan kokurikulum yang digubal khas bagi melatih guru Malaya menggunakan silibus moden, termasuk sesi latihan mengajar di sekolah-sekolah Inggeris; dan pendedahan kepada tamadun dan cara hidup masyarakat Barat, Maktab Kirby berjaya melahirkan guru-guru cemerlang dan hebat.
"Kurikulum disusun mengikut keperluan dan kesesuaian orang kita di Malaya," katanya kepada Utusan Malaysia.
Antara bekas pelajar Maktab Kirby ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Tan Sri G. Vadiveloo, bekas wakil rakyat dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara (1992-94); Datuk Noordin Hassan, Tokoh Budayawan Negara yang terkenal dalam bidang teater; Datuk KN Nadarajah, bekas Duta Malaysia ke Morocco dan Iraq; Zainal Arshad Zainul Abidin yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pelancongan di England selama 10 tahun (1977-86) dan Dr. Shaari Isa yang telah menghasilkan lebih 40 karya akademik dan novel sejarah.
Maktab Kirby yang terletak di Liverpool merupakan bekas kem tentera British yang berperang dalam Perang Dunia Kedua.
Justeru, susun atur bangunannya menyamai kem tentera membuatkan guru pelatih dari Tanah Melayu 'tergamam' sebaik sahaja tiba di sana. "Ramai guru pelatih membayangkan maktab itu menempatkan bangunan dan persekitaran yang sama seperti institusi pendidikan lain di England ketika itu. Namun sebaik sahaja tiba di sana, mereka terkejut melihat ia adalah bekas kem tentera.
"Sungguhpun begitu, semangat untuk belajar tidak pernah padam dan banyak aktiviti diadakan untuk 'menghidupkan' tempat itu," katanya yang merupakan kumpulan kedua guru pelatih di maktab tersebut.
Dr. Yahaya menghabiskan dua tahun pengajian di Maktab Kirby dari 1952 hingga 1954. Sekembalinya ke tanah air, Dr. Yahaya ditempatkan di Sekolah Inggeris Bandar Hilir, Melaka sebelum bertukar ke Malacca High School dan Pejabat Pelajaran Jasin.
Mengenang kembali saat berada di maktab tersebut, katanya, guru pelatih di situ terdiri daripada berbilang bangsa dan agama.
Ekoran itu, katanya, ia seumpama pentas yang menampilkan miniature Malaya yang mana semangat 1Malaya dan Malaya Boleh telah mula disemai ke dalam jiwa mereka di situ.
"Sekarang...kita tengok slogan 1Malaysia dan Malaysia Boleh dilaungkan di sana dan sini bagi menyemarakkan semangat perpaduan rakyat. Tetapi, sebenarnya laungan itu telah mula berkumandang di Kirby," ujarnya yang pernah mencadangkan agar sebuah muzium dibina khas bagi mempamerkan khazanah berkaitan maktab tersebut.
Menurutnya, artifak-artifak yang dimiliki dan disimpan oleh guru-guru lepasan maktab itu boleh dipamerkan untuk tatapan ramai.
Mencadangkan satu kawasan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur sebagai lokasi muzium, Dr. Yahaya berkata, muzium itu kelak tidak hanya memaparkan artifak berkaitan Maktab Kirby, sebaliknya ia turut menampilkan bahan-bahan sejarah termasuk keratan akhbar mengenai perkembangan sistem pendidikan rendah, menengah dan tinggi di Malaysia.
"Tentang sumbangan bahan-bahan pameran, ia tidak jadi masalah kerana alumni Maktab Kirby sedia menyumbang. Malah, saya galakkan sesiapa sahaja yang bukan alumni maktab itu tetapi memiliki artifak berkaitan pendidikan, agar menghantar sumbangan," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan alumni agar terus memberi sumbangan kepada masyarakat bagi membalas jasa negara.
"Walaupun kebanyakan alumni sudah berusia tetapi mereka masih sihat dan mempunyai kudrat untuk terus menyumbang.
"Negara rugi jika tidak mahu menggunakan khidmat mereka yang masih boleh mengajar dan memberi kursus bahasa Inggeris, melakukan kerja-kerja penyelidikan dan dilantik sebagai penceramah di kem motivasi dan lain-lain," katanya.
Beliau berkata, para alumni itu juga mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang seperti undang-undang, teknikal, bisnes dan politik kerana mereka juga melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang profesional.
Selain itu, katanya, sumbangan yang diberi itu adalah mengikut keperluan kementerian yang memerlukan khidmat mereka.
Dr. Yahaya berkata, pihak yang berminat untuk mendapatkan khidmat Alumni Maktab Kirby boleh menghubungi talian 03-77274475 atau faks 03-77274476 atau e-mel di alamat yes2000@studymalaysia.com
Utusan Malaysia Online: 8 Mac 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan