Rabu, 17 Mac 2010

Pendidikan seks: Jawatankuasa dapatkan pandangan

KUALA LUMPUR 17 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata hari ini, satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak berhubung polisi pendidikan seks di sekolah di negara ini.

Beliau berkata, jawatankuasa itu perlu dianggotai pakar-pakar dalam bidang pendidikan seks, biologi dan hal-hal yang berkaitan.

"Mungkin kita boleh mengambil sedikit contoh daripada apa yang berlaku di setengah-setengah negara yang sudah memperkenalkan (polisi ini) dan juga pakar yang ada di kementerian,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk pembangunan sukan di sekolah di bangunan Parlimen di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, isu pendidikan seks di sekolah telah dibincangkan oleh banyak pihak.

"Cuma kementerian yang belum lagi membuat keputusan kerana kita faham bahawa ia adalah suatu perkara yang agak besar dan dinanti bukan sahaja oleh kementerian tetapi pelajar, ibu bapa dan masyarakat. Oleh itu, ia adalah satu perkara yang perlu kita halusi semasak-masaknya.

“Jadi, saya bercadang untuk menubuh satu jawatankuasa untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak yang setakat ini (hanya menyuarakannya) kepada media sahaja, ada pakar kata bagus, ada yang kata tak bagus, ada yang kata sudah sampai masanya, ada yang bimbang macam mana cara... jadi hal-hal sebegini kita kena ambil kiralah sebelum kita putuskan,” katanya. – Bernama

Utusan Malaysia Online: 17 Mac 2010

Tiada ulasan: