Jumaat, 19 Mac 2010

Guru berputih mata

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang guru pelatih berputih mata apabila kerugian RM2,000 selepas tertarik dengan tawaran murah komputer riba berjenama di Internet yang dijual pada separuh harga.

Mangsa dikenali sebagai Syikin, 29, berkata dia yang masih menuntut di sebuah institusi perguruan di ibu negara berkata, semuanya bermula apabila dia terdesak ingin memiliki komputer riba bagi memudahkannya menyiapkan tugasan. “Pada awal Mac lalu, saya melayari sebuah laman web yang mengiklankan beberapa barangan untuk dijual dan tertarik dengan komputer riba Sony Vaio berharga RM2,000.


“Saya kemudian menghubungi pemilik komputer itu yang dikenali sebagai Sahizatul dan dia mendakwa komputer itu masih baru dengan nilai pasaran mencecah RM4,000,” katanya.


Menurutnya, pemilik komputer itu turut menawarkan beberapa barangan lain yang akan diberi secara percuma termasuk beg komputer berjenama, tetikus, kad USB dan barangan lain menyebabkan dia bersetuju membelinya.


“Selepas berbincang dengan keluarga, saya menghubunginya dan diarah memasukkan wang ke dalam akaun miliknya sebelum berjanji untuk menghantar komputer berkenaan dalam tempoh sehari.


“Pada mulanya saya enggan bersetuju kerana ingin terus berjumpa dan mengambil barangan itu daripadanya, namun pemilik komputer itu mengelak dan mendakwa berada di luar daerah atas urusan kerja dan meminta saya mempercayainya,” katanya.

Syikin berkata, pemilik komputer terbabit turut memberikan alamat rumah serta nombor kad pengenalan untuk meyakinkannya menyebabkan dia terpedaya dan memasukkan wang ke dalam akaun seperti diarahkan.


“Namun selepas empat hari menunggu, komputer yang dijanjikan tidak juga tiba. Saya cuba menghubunginya, namun talian tidak berjawab serta alamat diberikan juga tidak wujud,” katanya.

myMetro: 19 Mac 2010

Tiada ulasan: