Ahad, 21 Mac 2010

NUTP puji inisiatif fokus pelajar kurang cemerlang

2010/03/21

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik cadangan menyediakan inisiatif khas kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang atau gagal menyambung pelajaran sambil menggesa supaya cadangan itu dilaksanakan segera.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata pendekatan itu sepatutnya sudah lama dilaksanakan kerana ia mampu membantu meningkatkan kemahiran pelajar sebagai bekalan untuk menghadapi cabaran hidup.

Katanya, aspek kemahiran itu juga sepatutnya ditekankan sejak di zaman persekolahan dan bukannya menunggu sehingga keputusan peperiksaan diumumkan kerana minat ke arah kemahiran boleh dibentuk awal sekali gus membolehkan pelajar membuat pilihan hala tuju mereka. “Kita tak boleh fokus kepada pelajar cemerlang saja sebab ada dua lagi kategori yang perlu dijaga iaitu kumpulan sederhana dan lambat. Mereka juga ada potensi dan kita kena bantu. Bila kerajaan serius nak laksanakan, kami sokong sepenuhnya.

“Perlu ada keseimbangan bagi tiga kumpulan itu kerana masing-masing ada potensi untuk digilap. Bukan semua pelajar cemerlang berjaya dalam hidup dan sebaliknya. Kita tak perlu terlalu ramai pekerja dalam kumpulan pengurusan kerana kita juga perlukan juruteknik, pemandu dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

“Ada pelajar sederhana tetapi sangat berjaya dalam hidup bermodalkan kemahiran, contohnya membaikpulih komputer,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, jika program itu dilaksanakan awal di peringkat sekolah dengan mengasingkan murid berkenaan untuk tempoh tertentu bagi mengikuti kelas kemahiran, sudah tentu tidak mengganggu tumpuan murid lain di kelas yang lebih berminat dalam akademik.
Beliau berkata, kebanyakan pelajar yang bermasalah disiplin di sekolah kurang berminat dalam pembelajaran sebaliknya lebih menggemari bidang kerja tangan atau kemahiran, sekali gus potensi mereka boleh dikenal pasti untuk digilap.

Berita Harian Online: 21 Mac 2010

Tiada ulasan: