Isnin, 22 Mac 2010

Guru ditelan ombak

Oleh Ahmad Othman
am@hmetro.com.my
2010/03/22

KOTA TINGGI: Kegembiraan lima sekawan membabitkan guru dan bekas pelajar dari Johor Bahru menghabiskan cuti hujung minggu bermandi- manda di pantai Desaru, di sini, bertukar tragedi apabila salah seorang mereka ditemui lemas, manakala seorang lagi masih hilang, petang kelmarin.

Mayat Zahari Ibrahim, 29, seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Selesa Jaya 1, Johor Bahru, dekat sini sejak lima tahun lalu ditemui manakala Mohd Ramzi Mohamed Jasmin, 18, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang juga bekas murid sekolah sama, masih hilang.


Seorang rakan mangsa, Syed Ahmad Syed Sahardin, 23, berkata mereka ke pantai peranginan itu menaiki dua kereta berasingan dari Johor Bahru.


“Walaupun ketika itu hujan renyai dan ombak agak kuat, kami tetap menukar pakaian dan berenang sebaik tiba di pantai itu pada kira-kira jam 12 tengah hari semalam.


“Selepas dua jam berenang, saya bersama dua rakan lain naik ke darat dan bersiap-siap pulang tetapi Allahyarham Zahari dan Mohd Ramzi enggan naik kerana belum puas berenang,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kota TInggi (HKT), semalam.


Menurutnya, melihat dua rakannya masih ingin berenang dia bersama dua rakan lain mengambil keputusan bersiar-siar di pantai berhampiran resort di situ, sebelum kembali setengah jam kemudian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi dia melihat Allahyarham Zahari terkapai-kapai meminta tolong manakala Mohd Ramzi tidak kelihatan.


“Melihat rakan dalam cemas, saya berlari mendapatkan pertolongan daripada orang ramai dan petugas penyelamat pantai yang berada tidak jauh dari situ,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian lemas di pantai awam Desaru pada kira-kira jam 3 petang.


Sebaik menerima panggilan kecemasan, katanya, operasi mencari dan menyelamat dilancarkan membabitkan pasukan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar.


“Mayat Zahari ditemui kira-kira jam 3.30 petang, manakala usaha mencari Mohd Ramzi dikhuatiri lemas diteruskan sehingga jam 7 petang semalam (kelmarin) dan hari ini,” katanya.


Difahamkan Allahyarham Zahari masih bujang serta anak ketiga daripada lima beradik berasal dari Kampung Paku Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan.


Mohd Ramzi pula bekas pelajar di sekolah sama dan mereka dipercayai rapat sejak di bangku sekolah lagi.


Dua pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kota Tinggi (PPDKT), Zulkifli Mohamed dan Ishak Ismail, turut berada Unit Forensik Hospital Kota TInggi (HKT) bagi membantu pihak Jabatan Agama Islam mengurus tuntutan jenazah dan pengangkutan.

Jenazah Zahari dituntut keluarganya lewat malam kelmarin.

myMetro: 22 Mac 2010

Tiada ulasan: