Jumaat, 5 Mac 2010

Timur: Sekolah diminta sedia program galak membaca


TEMERLOH: Pentadbir sekolah diminta melaksanakan program bagi menggalakkan amalan budaya ilmu di kalangan pelajar sebagai usaha melahirkan generasi yang tidak terpengaruh dengan masalah gejala sosial.

Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Daerah, Mohd Nadzri Abd Wahab turut menyarankan supaya Guru Besar merancang program pembangunan pendidikan di sekolah secara berterusan yang menepati perkembangan serta kehendak pelajar.

Malah, saranan PPD Temerloh itu bertujuan membentuk pelajar cemerlang sahsiah diri serta akademik selaras hasrat memajukan negara menjelang Wawasan 2020.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Abu Bakar Mentakab, Salim Rantau, berkata program budaya ilmu perlu lebih kerap dijalankan di peringkat sekolah untuk mendidik pelajar supaya memahami konsep menuntut ilmu.

"Oleh itu, generasi muda akan menjadikan budaya membaca sebagai amalan dalam kehidupan sekali gus membantu membentuk keperibadian,” katanya ketika ditemui pada majlis Mesyuarat Perancangan Tahunan 2010 peringkat daerah ini, di sini kelmarin.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Teluk Sentang, Hasan Mohd Amin berkata budaya ilmu perlu disemai dalam jiwa pelajar supaya mereka menjadi generasi yang cemerlang.

Justeru, katanya, pihak sekolah perlu mempelbagaikan program untuk memastikan pelajar sentiasa mengamalkan budaya ilmu supaya ia selaras dengan hasrat kerajaan yang inginkan pelajar menjadi insan cemerlang.

"Negara memerlukan generasi yang memiliki peribadi dan pengetahuan tinggi untuk mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang," katanya.

Berita Harian Online: 5 Mac 2010

Tiada ulasan: