KOTA KINABALU 26 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau hari ini mengambil tindakan yang dianggap melegakan ibu bapa apabila memansuhkan bayaran memasuki tandas sekolah berkuat kuasa Isnin ini.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), SMK Tansau, Mohd. Fazal Bani Amim berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan antara pihaknya dengan sekolah.
"Sebenarnya pelaksanaan ini adalah hasil keputusan dalam mesyuarat agung yang diadakan oleh pihak PIBG bagi memastikan kemudahan tandas yang sering rosak dapat diperbaiki dengan segera.
"Bagaimanapun, bagi menghormati aduan sesetengah pihak kita mengambil keputusan membatalkan perkara ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah di SMK Tansau di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Yang Dipertua PIBG SMK Tansau, Ismail Yusof dan Ketua Pembantu Tadbir SMK Tansau, Pengiran Alimuddin Pangiran Daud.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan mengenai rungutan ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan tindakan sekolah berkenaan yang mengenakan bayaran kepada pelajar yang ingin memasuki tandas.
Kebanyakan ibu bapa menyatakan bayaran 10 sen yang dikenakan untuk memasuki tandas itu adalah tidak wajar kerana menyusahkan pelajar serta membebankan ibu bapa.
Menurut Mohd. Fazal, pelaksanaan sistem pembayaran itu dibuat selepas mendapat persetujuan ibu bapa bagi membayar upah pembersihan tandas dan menggantikan peralatan tandas yang rosak.
"Dalam mesyuarat agung yang dihadiri 602 orang penjaga pada 6 Februari lalu pun kita tidak mendapat bantahan daripada ibu bapa mengenai pembayaran itu.
"Selain itu juga kaunter aduan ibu bapa yang dibuka setiap hari Rabu oleh pihak sekolah juga tidak mendapat aduan mengenai perkara itu," katanya.
Dalam pada itu katanya, akibat tindakan pemansuhan itu pihaknya terpaksa menanggung sendiri perbelanjaan untuk membayar upah pembersihan dan pembaikan kerosakan tandas di sekolah berkenaan.
Justeru ujarnya, pihaknya akan memikirkan kaedah lain dalam mesyuarat PIBG akan datang bagi menampung perbelanjaan tersebut.
Pihaknya juga akan turut mencari kaedah terbaik seperti menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi memastikan semua penjaga dan ibu bapa dapat menyalurkan aduan terus kepada pihaknya.
Utusan Malaysia Online: 27 Mac 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan