Isnin, 8 Mac 2010

PIBGN syor badan pantau sekolah bukan taraf SBT

Oleh Fariza Ramlan
bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) meminta diwujudkan satu Jawatankuasa Kemajuan Sekolah Luar Bandar bagi mengenal pasti, memantau dan menilai pelaksanaan program dirancang bagi memperbaiki prestasi sekolah yang tidak tersenarai sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).

Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata kerajaan dengan kerjasama sekolah dan PIBG perlu meneliti perancangan lebih efektif serta pelan tindakan lebih konkrit bagi membantu sekolah dan pelajar berkenaan meningkatkan prestasi mereka supaya mampu menandingi SBT.

Beliau berkata, langkah ini selaras Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang bermatlamat merapatkan jurang antara sekolah termasuk mempertingkatkan prasarana kemudahan dan pergerakan kepakaran serta kemahiran ke kawasan luar bandar.

“Selain itu, perhatian yang lebih perlu diberikan kepada sekolah ini kerana mereka memerlukan lebih bimbingan serta daya usaha berbeza dengan SBT yang boleh bergerak sendiri tanpa memerlukan banyak bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai langkah diambil kerajaan dalam memperkenalkan program untuk memperbaiki prestasi sekolah seluruh negara yang tidak dikategorikan sebagai SBT, khususnya sekolah luar bandar dan pedalaman.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata perkara utama yang patut menjadi fokus dalam memperbaiki prestasi pelajar ialah meningkatkan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta prasarananya bagi sekolah luar bandar yang belum terdedah secara meluas dalam bidang itu bagi membantu meningkatkan kualiti pembelajaran.

“Guru yang mengajar di luar bandar dan pedalaman disaran menguasai ilmu ICT kerana internet dapat membuka mata serta menambah pengetahuan pelajar dalam semua bidang, malah menimba ilmu menerusi medium itu amat menyeronokkan,” katanya.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Pantai, Hamidah Abdul Latif, 54, berkata sekolah yang tidak tersenarai dalam SBT perlu berusaha lebih gigih mempertingkatkan kecemerlangan serta prestasi sekolah ke tahap lebih baik.

“Jika peruntukan diberi menerusi program baru ini, ia boleh menjadi motivasi kepada pengurusan sekolah meningkatkan kualiti sekolah, walaupun sudah ada bantuan kerajaan kepada sekolah bukan SBT sebelum ini,” katanya.

Guru, Norlia Arshad, 40, berkata program memperbaiki prestasi sekolah bukan SBT, adalah cadangan baik tetapi ia memerlukan peruntukan tambahan.

“Pihak sekolah sentiasa ada idea baru dalam menganjurkan program pemantapan pelajar, tetapi malangnya kekangan kewangan selalu menjadi masalah untuk melaksanakannya.

“Jadi, inisiatif lain perlu ada kerana kami tidak boleh terlalu bergantung kepada PIBG saja,” katanya.

Pelajar, Mohd Nabil Md Shaidi, 16, berkata sekolah harian biasa kurang mendapat perhatian berbanding SBT apabila pelajarnya menikmati pelbagai kemudahan lengkap.

Berita Harian Online: 8 Mac 2010

Tiada ulasan: