KOTA BHARU: Seramai 200 guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) menghadiri Majlis Taklimat Kursus Diploma Perguruan pengambilan ketiga Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (PGSABK) di Dewan Sekolah Menengah Ugama (SMU) Sulamiah, Bunut Payong, di sini.
Guru SMU Tarbiah Islamiah, Lubok Gong, Rantau Panjang, Rosdi Tahir, 34, bersyukur apabila PGSABK bersama UUM mengadakan program seumpama itu bagi membolehkan guru meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran.
"Kursus ini pasti akan memberi pengetahuan dan kemahiran dalam melaksanakan tugas masing-masing di sekolah dengan lebih baik, cekap dan berkesan,” katanya yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Al-Azhar, Mesir.
Guru SMU Al-Syukuriah, Lubok Setol, Faulsi Abdullah, 34, berkata, program itu akan meningkatkan motivasi guru supaya lebih profesional.
“Dengan mengikuti kursus ini, saya dapat meningkatkan motivasi bagi membentuk keyakinan diri untuk menjadi guru berkarisma dan dapat menjalankan tugas dengan berkesan.
“Bagi melahirkan anak bangsa yang cemerlang, guru mesti mempunyai ilmu pengetahuan, oleh itu melalui kursus ini, guru lebih bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mendokong falsafah pendidikan.
“Menerusi kursus ini juga akan melahirkan guru terlatih dan pastinya dapat menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, jujur dan amanah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PGSABK, Nazari Mohd Zawawi, berkata matlamat utama kursus berkenaan adalah untuk melahirkan tenaga kerja profesional untuk mengajar di sekolah seliaan YIK.
Katanya, kursus berkenaan dijalankan secara intensif pada cuti hujung minggu dan dalam cuti sekolah dengan kuliah akan berlangsung selama 40 minggu dijangka bermula Mei ini di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
“Kursus ini diadakan untuk memberi peluang kepada guru YIK menimba pengalaman, pengetahuan dan kemahiran supaya dapat meningkatkan keyakinan diri untuk menjadi guru cemerlang,” katanya.
Berita Harian Online: 31 Mac 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Salam .Saya sokong sangat program seumpama ini diadakan demi menjaga dan membela guru-guru baru untuk diserap sebagai guru terlatih.
Saya salah seorang bekas pelajar SMU L Gong.
Catat Ulasan