Isnin, 22 Mac 2010

Dua lembu RM44,000

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my
2010/03/22

PUTRAJAYA: Hasrat seorang guru menagih keuntungan tiga kali ganda hasil pelaburan RM44,000 dalam sebuah ladang penternakan lembu kacukan milik seorang ‘Datuk’ bakal menjadi ‘angan-angan’ apabila hanya menerima tidak sampai RM1,600 selepas enam bulan membuat pelaburan.

Malah, janji manis kakitangan syarikat itu yang mahu menggantikan dua lembu dibeli mangsa masing-masing bernilai RM26,786 jika haiwan itu mati atau tidak mengeluarkan hasil susu pada tahap sepatutnya juga tidak ditunaikan. Bukan itu saja, sebelum menandatangani perjanjian di pejabat syarikat itu di Kuala Lumpur, mangsa dijanjikan hasil itu dalam tempoh 30 minit apabila mangsa hadir di pejabat syarikat itu pada September tahun lalu. Malah, bagi menagih wang dimiliki mangsa, kakitangan syarikat beria-ria mengakui mangsa mampu memperoleh semula pelaburan dalam dua tahun setengah dan bakal menikmati keuntungan tiga kali ganda sehingga mencapai lapan tahun.


Berdasarkan perjanjian itu, mangsa bakal menikmati ganjaran 70 peratus dan 30 peratus bagi syarikat berdasarkan susu yang dihasilkan lembu berkenaan. Kini, sandaran RM44,000 yang dilaburkan itu seolah-olah tinggal harapan apabila lembu pertama tidak lagi mengeluarkan hasil susu yang disyaratkan, manakala lembu kedua mati selepas tidak sampai sebulan dibeli. Apa yang mengejutkan, Krishna Gopal, 43, mendakwa janji yang tertera dalam perjanjian supaya lembu itu diganti jika tidak mengeluarkan hasil dan mati, tidak ditunaikan sehingga kini. Bukan itu saja, katanya, kakitangan di syarikat terbabit juga cuba mengelak apabila dia cuba mendapatkan kepastian.


“Pelaburan yang saya buat ini besar, tetapi mereka tidak menunaikan janji yang sepatutnya, malah cuba melarikan diri apabila saya cuba mendapat kakitangan yang berkaitan.


“Sebenarnya, saya mahukan kepastian kerana pelaburan yang dibuat ini selepas menggunakan pinjaman di sebuah bank dan terpaksa membayar ansuran RM740 setiap bulan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam. Apa yang mengecewakan, dia hanya menerima bayaran RM1,410 bagi tiga bulan pertama untuk lembu pertama, manakala RM150 saja bagi lembu kedua yang kemudiannya mati. Menurutnya, berdasarkan perjanjian, lembu yang kurang mengeluarkan susu sehingga 10 liter sehari akan digantikan dengan lembu baru dan begitu juga dengan lembu yang baru akan diganti dengan lembu baru.


“Tetapi, apa yang menyedihkan janji yang dihamburkan tidak dikotakan, malah semakin bimbang apabila kakitangan syarikat sukar untuk bersemuka bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya.

“Malah, ada kakitangan syarikat memberikan mahu saya menjelaskan baki kira-kira RM8,780 jika mahu lembu baru itu diberikan, walaupun sebelum ini mereka berjanji untuk menggantikannya terlebih dahulu,” katanya yang mengakui dijanjikan setiap lembu dibeli mampu mengeluarkan hasil antara 20 hingga 25 liter sehari.


Gopal mendakwa, dia bimbang untuk melangsaikan baki berkenaan kerana bimbang masalah lebih rumit akan muncul sehingga haknya tidak dipedulikan kakitangan syarikat.


Menurutnya, jika dia sudah mampu menyediakan RM44,000, bukan masalah untuk menyediakan baki yang masih belum dijelaskan jika syarikat mampu memberikan kepastian bertulis dua lembu baru disediakan sebelum pembayaran baki dilakukan.


Tanpa berselindung, Gopal mengakui memang tertarik dengan pelaburan hasil ternakan itu, tetapi tidak menyangka sebuah syarikat itu sanggup memperlekehkannya yang terpaksa membuat pinjaman bank bagi membuat pelaburan. “Saya mengakui sudah melawat ladang penternakan syarikat berkenaan di selatan tanah air dan tertarik dengan kemampuan lembu yang diternak yang kononnya mampu mengeluarkan hasil tenusu di antara 20 hingga 25 liter sehari dan ada yang mencapai 30 liter sehari.


“Memang ia adalah hakikat di ladang berkenaan, tetapi tidak menyangka dilayan seperti peminta sedekah hanya kerana mahu mendapatkan kepastian mengenai haknya yang tertera dalam perjanjian,” katanya yang kesal dengan sikap kakitangan di syarikat berkenaan.


Menurutnya, dia juga terkejut sebuah syarikat terkenal dan diterajui seorang berstatus `datuk’ tidak mahu menyelesaikan masalah dihadapi pelabur yang terpaksa membuat pinjaman bank bagi meneruskan hasrat melabur. “Saya tidak menafikan kemungkinan ada pelabur lain menghadapi masalah sama termasuk terperangkap dengan `janji manis’ kakitangan syarikat sehingga sanggup melabur sejumlah wang yang besar hanya bagi membeli lembu,” katanya. Malah, katanya, dia juga difahamkan, golongan muda adalah antara mereka yang banyak melabur dalam bidang perniagaan ini kononnya selepas tertarik dengan ganjaran berlipat ganda yang mampu diperoleh dalam tempoh tertentu. Bagi memastikan kegiatan itu tidak berlarutan, Gopal berkata, dia akan mendapatkan nasihat rakan dan pengamal undang-undang sebelum membuat laporan laporan di balai polis kerana berasa tertipu dengan syarikat berkenaan.

myMetro: 22 Mac 2010


Tiada ulasan: