Rabu, 3 Mac 2010

Johor: Sekolah diminta tumpu laksana LDP

JOHOR BAHRU: Jabatan Pelajaran Johor meminta semua sekolah di sekitar negeri, memberi tumpuan terhadap pelaksanaan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) yang perlu dijalani guru dan kakitangan sekolah, menerusi program berasaskan sekolah.

Pengarah Pelajaran Johor, Sufaat Tumin, berkata setiap tahun guru terlatih dan guru sandaran tidak terlatih, perlu memenuhi syarat mengikuti kursus latihan berkenaan, juga dikenali sebagai Program Pembangunan Profesional (PPP), selama tempoh minimum tujuh hari atau sekurang-kurangnya 42 jam dalam setahun di lokasi ditetapkan kementerian, jabatan dan Pejabat Pelajaran Daerah.

Namun, bermula tahun ini, katanya jabatan mahu pihak sekolah mengadakan program latihan terbabit di sekolah masing-masing, atau dilakukan dalam kelompok kecil membabitkan dua atau tiga sekolah berdekatan, menggunakan kepakaran yang ada di sekolah masing-masing.

“Setiap guru di sekolah masing-masing mempunyai kepakaran pelbagai, antaranya dari aspek motivasi, pengurusan, kaunseling, serta komunikasi.

“Mentornya pula di kalangan pengetua atau guru besar dan guru terlatih yang sudah lama berkhidmat dan berpengalaman bagi membimbing guru terlatih, guru sandaran terlatih dan kakitangan sokongan dalam mencapai misi dan visi sekolah,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini.

Beliau berkata, pengetua mahupun guru besar memainkan peranan mengaturkan latihan kerana mereka lebih mengetahui keperluan sekolah terhadap gurunya selain kekurangan tenaga pengajar terbabit yang perlu digilap bagi manfaat bersama.

Beliau menjelaskan, kementerian menerusi jabatan masih melaksanakan latihan berkenaan bagi guru, namun peranan sekolah perlu bagi membantu mencukupkan syarat tempoh minimum latihan, selaras mempertingkatkan kualiti guru masing-masing.

Beliau berkata, semua sekolah sudah pun menerima garis panduan pelaksanaan program, pada Januari lalu.

Berita Harian Online: 3 Mac 2010

Tiada ulasan: