TEMERLOH 5 Mac - Sebuah rumah papan dua tingkat berusia 90 tahun yang dimiliki sepasang guru musnah dalam kebakaran di Kampung Seberang Temerloh di sini semalam.
Kebakaran pada pukul 4.20 petang itu memusnahkan semua harta benda milik guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh, Ahmad Omar, 43, dan isteri serta lima anaknya yang menyebabkan mereka tinggal sehelai sepinggang.
Ahmad ketika ditemui selepas kejadian memberitahu, dia tidak menyangka kepulan asap hitam yang dilihatnya ketika sedang minum di sebuah warung di kampung itu selepas pulang dari sekolah, berpunca dari rumahnya yang dijilat api.
Selepas dimaklumkan penduduk, katanya, dia bergegas pulang untuk menyelamatkan isteri dan anak-anaknya yang berada di rumah pusaka yang dibina pada tahun 1920 itu.
"Sebaik pulang dari sekolah, saya tidak terus pulang ke rumah sebaliknya singgah minum di kedai bersama rakan-rakan.
"Sebaik sahaja duduk di kedai itu, saya melihat kepulan asap hitam di udara dari arah rumah saya sebelum saya bergegas pulang selepas dimaklumkan penduduk," katanya.
Ahmad bagaimanapun bersyukur kerana isterinya, Haliza Ahmad, 41, yang juga seorang guru SMK Teluk Sentang di sini dan anak-anaknya yang berada di tingkat bawah, sempat menyelamatkan diri.
Utusan Malaysia Online: 6 Mac 2010
Sabtu, 6 Mac 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan