Sabtu, 20 Mac 2010

RM100,000 bantu SJKC San Yuk



MUHYIDDIN Yassin menyampaikan replika cek kepada Yau Kok Wan, (tiga dari kanan) Guru Besar SJK (C) San Yuk, Rawang di Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan SPM dan Penyampaian Sumbangan Kementerian Pelajaran di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 19 Mac - Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan modal khas bernilai RM100,000 bagi membaik pulih Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) San Yuk di Rawang yang terbakar akibat diceroboh sekumpulan penjenayah bulan lalu.

Mengumumkan demikian hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan akan disalurkan seberapa segera.

"Kementerian Pelajaran amat bersimpati dengan nasib yang dialami oleh seluruh warga sekolah khususnya murid-murid," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan SPM 2009 di sini.

Bulan lalu, SJKC San Yuk diceroboh oleh sekumpulan enam penjenayah yang bertindak mencederakan dua pengawal keselamatan sekolah dan membakar bilik guru serta kabin mencetak kertas soalan peperiksaan.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah SJKC San Yuk yang turut hadir, Lee Li Yew berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana menyediakan peruntukan untuk sekolah dalam masa yang singkat.

"Kerajaan segera meluluskan permohonan peruntukan RM100,000 untuk membaik pulih sekolah, ia menunjukkan kerajaan prihatin dengan keperluan masyarakat Cina.

"Peruntukan ini akan digunakan segera untuk membaiki kerosakan sekolah," katanya.

Utusan Malaysia Online: 20 Mac 2010

Tiada ulasan: