Isnin, 8 Mac 2010

Sabah & Sarawak: Asrama daif

Oleh Suzianah Jiffar


Murid SK Saliliran huni rumah papan perlu bantuan makanan

PENSIANGAN: "Permintaan kami tidak besar. Kami hanya meminta kerajaan memberi bantuan makanan dan minuman kepada anak kami yang tinggal di rumah papan yang serba daif.

"Rumah papan yang menjadi asrama 13 murid itu juga harus dinaik taraf kerana ia amat penting sebagai tempat tinggal untuk mereka mudah berulang alik ke sekolah," luahan penduduk Kampung Kabuh, Thomas Inih, 45, mengenai kesengsaraan 13 anak dari kampung berkenaan yang menuntut ilmu di Sekolah Kebangsaan (SK) Saliliran, dekat sini yang terpaksa menghuni sebuah rumah papan atau lebih dikenali sebagai 'asrama' di kalangan penduduk.

Thomas yang mempunyai seorang anak belajar dalam Tahun Empat di SK Saliliran, iaitu kira-kira tujuh hingga lapan jam berjalan kaki dari Kampung Kabuh, berkata beliau berharap kerajaan membantu menaik taraf 'asrama' dekat SK Saliliran itu.

Beliau berkata, 'asrama' anak-anak penduduk Kampung Kabuh itu dibina melalui peruntukan diberikan bekas Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Bernard Maraat dan penduduk membinanya secara gotong-royong.

"Asrama sudah ada. Kami masih memerlukan bantuan lain, khususnya untuk menampung perbelanjaan makan dan minum mereka. Kami hanya petani. Kami perlu menjaga anggota keluarga di kampung.

"Kami terpaksa menjaga anak-anak di asrama ini secara bergilir-gilir setiap bulan. Contohnya, jika bulan ini saya menjaga mereka, bulan depan, keluarga lain pula yang menjaga mereka.

"Kami berkongsi menanggung makan dan minum mereka. Jika ada bantuan daripada kerajaan untuk menanggung makan dan minum mereka, ia membantu meringankan beban kami," katanya ketika ditemui, di sini.

'Asrama' berkenaan yang turut dihuni beberapa murid prasekolah dari Kampung Kabuh dibina pada 2004. Ia turut menerima bantuan peruntukan daripada wakil rakyat di kawasan Pensiangan dan Nabawan.

SK Saliliran terletak kira-kira 12 kilometer dari Kampung Sinapar, dekat sini. Perjalanan dari Kampung Sinapar ke Kampung Saliliran mengambil masa tujuh hingga lapan jam meredah hutan, mendaki bukit dan menyeberangi sungai.

Kampung Saliliran bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.

Rumah papan itu ada ruang tamu yang dijadikan murid terbabit sebagai tempat tidur dan membuat kerja rumah. Selain itu, ada sebuah dapur kayu.

Walaupun rumah papan itu kecil dan serba kekurangan, sekurang-kurangnya anak-anak dari Kampung Kabuh mampu berteduh daripada panas dan hujan.

Ia adalah harapan ibu bapa agar anak mereka berilmu dan tidak mewarisi kemiskinan mereka dari satu generasi ke satu generasi.

Thomas berkata, walaupun rumah itu serba kekurangan, sekurang-kurangnya ia menyediakan tempat tinggal untuk 13 anak mereka meneruskan persekolahan.

"Walaupun rumah ini kecil dan serba kekurangan, ia menjadi tempat anak-anak kami berteduh agar mereka mampu menimba ilmu.

"Sekurang-kurangnya anak kami tidak buta huruf dan mendapat pendidikan sepatutnya. Kami rasa bersalah jika tidak menyekolahkan mereka. Di kampung kami tiada sekolah. Jika kami tidak berkorban, anak kami buta huruf," katanya.

Sementara itu, guru di SK Saliliran, Mohd Riduan Ahmad, 26, dari Batu Gajah Perak, berharap 13 murid terbabit memperoleh asrama yang dilengkapi kemudahan asas.

"Jika mereka ada asrama dan makanan mereka teratur, termasuk yang ada vitamin, ia akan membantu pembelajaran mereka. Keluarga mereka bukan orang senang. Majoriti mereka petani.

"Kadang-kadang mereka menghadapi masalah kewangan kerana hanya bergantung kepada pendapatan sebagai petani. Oleh itu, asrama yang lebih baik dan bantuan makanan akan memberi keselesaan kepada mereka," katanya.

Berita Harian Online: 8 Mac 2010



Tiada ulasan: