KUALA LUMPUR: “Sejak lebam dicubit di pipi dan kedua-dua lengannya, anak saya menjadi takut ke sekolah,” kata Ismail Humaidi Ahmat, 45, bapa seorang kanak-kanak ‘dyslexia’ yang dikatakan didera guru pendidikan Islam di sekolahnya.
Ismail Humaidi berkata, anaknya Zulhilmi Hakim, 12, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) enggan ke kelas setiap Isnin kerana guru terbabit mengajar di kelasnya pada hari itu. Berikutan itu, katanya, dia meminta pihak sekolah memastikan anaknya dikecualikan dari mengikuti kelas berkenaan. “Tapi, jika untuk kelas yang bukan diajar guru berkenaan, anak saya biasa saja. Dia cuma menjadi sangat takut setiap Isnin sehingga tidak mahu ke sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Berikutan itu, katanya, dia cuba meminta penjelasan pentadbir sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling dan ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam pertemuan diaturkan, semalam. Bagaimanapun, dia kecewa dengan reaksi semua pihak terbabit yang bagaikan memintanya ‘melupakan’ insiden itu dan berharap perkara berkenaan berlalu begitu saja tanpa sebarang tindakan bersesuaian terhadap guru itu. Menurutnya, dia kecewa sikap mereka kerana apabila disoal sama ada sudah menjalankan siasatan atau melihat kecederaan anaknya, mereka hanya membisu.
“Saya kecewa kerana selepas pertemuan itu, pihak berkenaan seolah-olah meletakkan kesalahan pada anak saya dengan mendakwa sebenarnya ‘lupa’, mengada-adakan cerita dan tidak mampu memberikan jawapan. Yang mampu dipercayai hanya kerana Zulhilmi menghidap ‘dyslexia’,” katanya.
myMetro: 4 Mac 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan